Pun begitu, biarpun sedang menggapai glamor dan populariti, gadis manis berdarah campuran berusia 26 tahun ini semakin menunjukkan sisi kematangan khususnya dalam mendepani kehidupan.

Akui Emma, dia perlu sedar diri dengan perjalanan sebagai seorang anak seni yang harus menerima hakikat kecenderungan peminat untuk memilih dan menyukai artis-artis angkatan baharu.

Justeru Emma kini tidak mahu sekadar dikenali sebagai pelakon, tetapi juga usahawan apabila memulakan pelbagai perniagaan yang diakuinya kini menjadi punca utama pendapatan berbanding lakonan.

Tidak mengejar keuntungan semata-mata, bagi Emma, dia sebenarnya lebih suka berkongsi kejayaan perniagaan itu dengan adik beradiknya yang lain.

“Punca utama pendapatan saya kini memang datang dari perniagaan, saya akui memang seronok sebenarnya melibatkan diri dalam bidang ini.

“Namun saya tidak nafikan, kerjaya sebagai pelakon membuatkan saya selalu sibuk di lokasi penggambaran.

“Tetapi saya beruntung mempunyai adik beradik yang komited membantu perniagaan yang saya usahakan,” katanya yang kini menjalankan perniagaan antaranya tudung, My Sketchbook Shawl dan produk kecantikan.

Walaupun memilih adik beradiknya untuk menyelia perniagaan yang dimiliki, Emma bagaimanapun tetap bersikap profesional dalam memastikan kejayaan perniagaannya itu.

“Memang pada awalnya ada konflik tetapi bagi saya itu normal. Namun saya sangat profesional dalam soal perniagaan. Sebab itu biarpun antara adik beradik saya tetap menyediakan kontrak bagi mengelakkan salah laku selain mengingatkan kami tentang betapa pentingnya perniagaan ini.

“Saya sedar adakalanya masa dan tanggungjawab saya banyak dihabiskan di lokasi penggambaran tetapi saya tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak mengambil bahagian dan mengambil tahu setiap proses perniagaan milik saya.

“Memang kalau ada masa terluang saya sendiri akan turun padang dan periksa aliran keluar masuk wang perniagaan yang dijalankan itu,” katanya.

Mengakui melalui sendiri jatuh bangun perniagaan yang diceburi, kata Emma atau Fatimah Rohani Ismail ini, statusnya sebagai seorang artis popular tidak memberi kelebihan dalam dunia perniagaan yang diceburinya.

“Tiada yang berbeza sebab saya masih perlu berusaha gigih untuk memastikan setiap perniagaan saya berjaya. Malah kalau ikutkan memang ada beberapa perniagaan saya yang tidak berjaya antara Emma Shawl dan beberapa lagi.

“Tetapi ini tidak mematahkan semangat saya sebaliknya memberi saya satu motivasi untuk terus mencuba dan memperbaiki diri dalam dunia perniagaan yang mencabar ini,” katanya.

Tidak meletakkan gelaran pelakon popular sebagai sandaran untuk dia terus berasa selesa pada kedudukannya kini, kata Emma, yang lebih penting baginya adalah untuk bersyukur dengan rezeki yang diperoleh dalam bidang seni.

“Soal pelakon kelas A itu saya tidak tahu dan tidak pernah terlintas sebenarnya untuk berada dalam mana-mana liga. Sebab berlakon adalah kerjaya buat saya.

“Tiada juga isu untuk meminta bayaran yang tinggi sebab nama Emma itu sendiri adalah nama industri, di luar saya masih orang yang sama malah di rumah saya hanya dikenali sebagai Timoh,” katanya.

Ditanya sama ada kehadiran ramai pelakon baharu memberi saingan buat dirinya, Emma cukup positif memberitahu yang dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Setakat ini memang tawaran sudah ada sampai tahun depan, jadi selagi ada panggilan untuk berlakon saya sudah sangat bersyukur. Sebab bagi saya yang paling menakutkan kalau saya terpaksa menunggu selama sebulan bagi tawaran lakonan.

“Bagi saya kehadiran pelakon baru memang perkara yang normal jadi sebagai seorang pelakon saya sendiri tahu suatu masa nanti saya juga akan membawa peranan yang berbeza dalam sesebuah karya.

“Mungkin sekarang tawaran heroin masih saya peroleh tetapi selepas ini mungkin saya bawa watak ibu-ibu dan sebagainya pula. Namun saya sentiasa bersedia,” katanya optimis.

Terima jodoh

Terus dikaitkan dengan Kamal Adli, nampaknya Emma tidak cuba berselindung dengan pilihan hati. Jelasnya, hubungannya dengan pelakon kacak itu tidak lebih daripada seorang rakan dan tiada hubungan istimewa yang perlu dia perincikan lagi.

“Kami hanya berkawan dan saya tidak ada masalah untuk berkawan dengan semua orang termasuk Kamal.

“Saya jenis yang cukup mudah, saya tidak suka bermusuh walaupun kami sudah tiada ikatan. Jika layanannya baik terhadap saya jadi saya baik dengan dia juga,” katanya.

Tidak mencari tetapi memberi peluang, kongsi Emma dia sentiasa terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Malah jelasnya, siapa tahu mungkin dia akan bertemu jodohnya tidak lama lagi.

“Buat masa ini saya memang berkawan dengan sesiapa sahaja, kalau sudah jodoh saya akan terima sahaja,” katanya.

Ditanya perasaannya jika lelaki yang akan memilikinya sebagai isteri satu hari nanti bukan Kamal, Emma berkata, dia tidak melihat itu sebagai sesuatu yang mengejutkan, malah buat masa ini dia tidak menyembunyikan apa-apa.

“Mungkin bagi mereka yang beranggapan saya masih mempunyai hubungan dengan Kamal, mereka akan terkejut.

“Tetapi bagi saya, itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan saya akan menerima sesiapa sahaja kalau itu sudah memang jodoh saya,” ujarnya. –  Utusan