Abam mahu kurus nak berlakon cerita aksi

PELAWAK terkenal Abam (Bocey) mahu menurunkan berat badannya sehingga 100 kilogram kerana ingin melakukan perubahan kepada karier seninya pada tahun hadapan.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 30, berkata dia masih perlu menurunkan berat sebanyak 67 kilogram untuk mencapai sasarannya.

“Sebelum ini berat saya 188.6 kilogram dan sekarang saya berjaya turunkan sehingga 167 kilogram.

“Saya sasarkan nak buang lagi 67 kilogram tu dan tinggal 100 kilogram. Saya buat semua ini atas diri sendiri.

Abam mahu menurunkan berat sehingga 100 kilogram.

“Nak lakukan perubahan dalam karier seni. Tahun hadapan saya nak cuba berlakon dalam cerita aksi pula,” kata Abam kepada mStar Online.

Abam ditemui baru-baru ini ketika Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Kata Abam, dia masih mengekalkan tagline ‘Gemuk Is Awesome’ kerana beranggapan tagline tersebut dapat memberi semangat kepada orang berbadan besar.

“Saya masih kekalkan Gemuk Is Awesome. Malah saya menyeru kepada semua orang berbadan besar supaya menjadi awesome apabila kita boleh membuat sesuatu yang baru.

“Itu yang sebenarnya. Bukan sebab kita berbangga jadi gemuk. Kefahaman orang kadang-kadang lebih negatif daripada positif.

“Tagline itu sebagai satu semangat untuk golongan seperti saya berusaha menjadi lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abam memberitahu antara cabaran menguruskan badan adalah mengawal nafsu di sekelilingnya.

Bagaimanapun, Abam dibantu isteri, Siti Norhidayah Mohd Ali dan pembantu peribadi yang mengawal pemakanannya.

“Nak kawal makan tu tak susah tapi nafsu tu yang susah. Kita tengah diet tapi ada yang ajak makan macam-macam. Terpengaruh dengan orang luar.

“Tapi nasib baik isteri dan pembantu peribadi yang akan pantau dan mengawal cara pemakanan saya,” katanya.

Abam dan Norhidayah berkahwin pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Kuala Selangor.

Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.