Ayda nafi lagu dipinggir stesen radio

PENYANYI dan pelakon, Ayda Jebat menafikan single terbarunya, Bagai Pelangi yang juga menjadi OST filem Pinjamkan Hatiku lakonannya ‘dipinggir’ oleh stesen radio tempatan.

Ini kerana, sejak single itu dilancarkan Ayda di platform digital sekitar Mac lalu, hingga kini belum pernah ia didengarkan berkumandang di radio.

Ayda atau Nur Suhada Jebat, 26, berkata single Bagai Pelangi tidak pun ‘dipinggir’ oleh stesen radio sebalik dia yang tidak membuat sebarang aktiviti promosi ke atas lagu itu.

“Saya membuat rakaman lagu itu khas untuk peminat yang sudah menonton filem Pinjamkan Hatiku sebagai tanda terima kasih di atas sokongan diberikan mereka. Itu saja.

“Jadi, saya hanya muat lirik dan muzik video rasmi single Bagai Pelangi di YouTube untuk publisiti. Saya langsung tidak buat promosi di mana-mana stesen radio pun.

“Bukan stesen radio tidak hubungi saya untuk memberi ruang dan peluang mempromosikan single itu (Bagai Pelangi) tetapi komitmen kerja saya pada lakonan agak sibuk.

“Jadual saya padat dengan aktiviti penggambaran sehingga tidak berkesempatan memenuhi undangan stesen radio yang mengajak saya datang ke konti bagi tujuan promosi,” katanya.

Pelakon drama Dekatkan Jarak Kita ini juga menegaskan dia tiada masalah dengan mana-mana stesen radio pun termasuk Era dan Hot FM.

“Pihak stesen radio Era dan Hot FM, masing-masing ada hubungi saya mengajak datang ke konti mempromosikan single Bagai Pelangi itu.

“Namun, saya yang terpaksa menolaknya sebab sibuk dengan aktiviti di lokasi penggambaran drama. Memang tiada masa langsung,” katanya.

Ayda berkata apapun dia kini dalam perancangan untuk muncul dengan satu lagi single baru dan mengatur jadualnya untuk tampil membuat promosi.

Single Bagai Pelangi bergenre pop adalah hasil ciptaan Ayda bersama dua komposer lain iaitu Norzaidi Abd Rahman dan Rafik Khairudin.

Dilancarkan muzik videonya di YouTube pada 17 Mac lalu, hingga kini sudah mencatat lebih sejuta tontonan dalam tempoh lebih dua bulan.

Muzik video single Bagai Pelangi ini juga dirakamkan khas oleh Ayda buat peminatnya terutama Ayda Jebat Screamer (AJS) ketika dia berkunjung ke Jepun.

Setakat ini, Ayda sudah mengahasilkan single solo Siapa Diriku, Pencuri Hati, Nakal Nakal Nakal, Mata termasuk satu single duet, Pinjamkan Hatiku bersama Adi Priyo.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.