Banjir di Perak kembali teruk

IPOH: Keadaan banjir di Perak semakin buruk apabila bilangan mangsa banjir meningkat tiga kali ganda kepada seramai 444 orang daripada 114 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah berikutan hujan lebat berlarutan sejak petang semalam.

Dua daerah baharu terjejas banjir adalah Perak Tengah dan Manjung.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBD) berkata, jumlah mangsa meningkat mendadak berbanding hanya 142 mangsa daripada 38 keluarga yang dilaporkan sebelumnya.

“Terbaharu, berlaku banjir di kawasan Kampung Serapoh dan Buluh Akar di daerah Perak Tengah.

“Satu pusat pemindahan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 3 Parit di daerah itu yang menempatkan seramai 150 orang daripada 41 keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, di daerah Manjung pula tiga kampung terjejas iaitu Paya Lima, Masjid dan Kampung Tersusun.

“PPS dibuka di SK Beruas di daerah Manjung yang menempatkan seramai 150 orang daripada 35 keluarga,” katanya.

Sementara itu, bagi daerah Kerian, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak dan SK Alor Pongsu tidak berubah. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.