‘Beri Syafiq Kyle ruang selesaikan kontroversi’

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hannah Delisha, 22, berharap masyarakat memberikan Syafiq Kyle ruang untuk menyelesaikan kontroversi video tular yang menghimpitnya dan tidak membebankan dia dengan pelbagai andaian.

Bersimpati dengan kontroversi yang menimpa gandingannya dalam drama rantaian, Mencintaimu Mr Photographer itu, Hannah juga berharap Syafiq tidak patah semangat dan terus bertahan ketika berdepan dugaan berat.

“Saya kasihan apabila Syafiq berdepan dugaan hebat itu dan berharap dia kuat menempuhinya. Hanya itu yang mampu saya katakan. Saya tidak berhak memberi kenyataan kerana tidak mengetahui secara terperinci isu yang diperkatakan.

“Lagipun, tidak manis rasanya mencampuri urusan peribadi orang lain, apatah lagi ketika bulan mulia. Cukuplah, jangan dibuka lagi aib orang. Saya percaya, Syafiq dan pengurusannya mempunyai cara terbaik menamatkan kontroversi itu,” katanya.

Kembali bergandingan dengan Syafiq menerusi filem arahan Osman Ali, Langsuir, Hannah juga berharap, masyarakat berhenti daripada membuli pelakon itu dengan melempar pelbagai kenyataan menyakitkan di laman siber.

“Segelintir netizen terlalu berani menghentam tanpa menyelidik dahulu kebenaran sesuatu isu, seolah-olah kami tiada perasaan. Mungkin kami selebriti, tetapi kami juga sama seperti orang lain yang punya hati dan perasaan.

“Saya terkilan apabila melakukan kesilapan, segelintir masyarakat akan terus menghentam seolah-olah kami tidak layak diberikan ruang untuk belajar dan memperbaiki diri.

“Perbuatan ini harus dihentikan. Saya juga berharap perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat tidak disalahgunakan untuk melakukan perkara yang memudaratkan,” katanya.

Hannah yang ditemui pada majlis Previu Media Program Syawal Terima Kasih 2018 Rangkaian Televisyen Media Prima, baru-baru ini berkata, dia kini sibuk menjayakan penggambaran adaptasi drama popular Korea Selatan, My Fullhouse bersama Aiman Hakim Ridza.

“Penggambaran drama itu baru bermula, membuatkan jadual saya agak sibuk sepanjang Ramadan dan pada musim Syawal nanti. Seperti biasa, saya akan pulang ke Singapura, beberapa hari bersama keluarga untuk meraikan 1 Syawal,” katanya.

Pemenang Artis Paling Popular Singapura, Anugerah Planet Muzik (APM) 2017 ini berkata, dia juga baru muncul dengan single terbaru, Tak Perlu Kata Apa-Apa. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.