Chong Wei kenal pasti pengganti selaku pemain utama Malaysia

GEORGE TOWN, 31 Mei (Bernama) — Jaguh perseorangan Malaysia, Datuk Lee Chong Wei memberi bayangan pemain remaja negara, Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Tan Jia Wei, bakal menjadi penggantinya apabila beliau bersara daripada arena badminton antarabangsa.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 36 tahun itu, berkata beliau gembira menyaksikan beberapa pemain remaja negara menunjukkan peningkatan dalam permainan dan berjaya memenuhi harapan yang disandarkan kepada mereka terutamanya Zii Jia, June Wei dan Jia Wei.

“Kita perlu mengasah pemain muda ini, menggalakkan mereka berusaha keras untuk mencapai matlamat dan saya gembira melihat mereka berjaya meningkatkan permainan masing-masing dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima insentif tunai daripada kerajaan Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau juga berharap kesemua pemain muda negara terus berusaha keras dan memperbaiki ranking dunia masing-masing bagi membolehkan mereka beraksi pada lebih banyak kejohanan Terbuka.

Pemain ranking ketujuh dunia itu juga menggesa rakan sepasukan dalam skuad negara supaya melupakan kekecewaan apabila tumpas 1-3 kepada Indonesia di peringkat suku akhir Piala Thomas, dan membuat persediaan rapi bagi menghadapi kejohanan besar seterusnya….. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.