CIMB perkenal Pembiayaan Auto 1 Minit

CIMB Bank Berhad memperkenalkan Pembiayaan Auto 1 Minit InstaApproval CIMB, platform digital yang meluluskan pembiayaan kenderaan dalam tempoh hanya seminit.

Pembiayaan Auto 1 Minit itu adalah siri terbaru daripada InstaApproval CIMB selepas pengenalan Pembiayaan Kediaman 1 Minit CIMB pada Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pelanggan Kumpulannya Samir Gupta berkata, Pembiayaan Auto 1 Minit InstaApproval CIMB terbuka untuk semua jenis kereta sama ada baharu atau terpakai.

Katanya, kelulusan itu didatangkan dengan surat akujanji dan notifikasi SMS serta e-mel kepada pelanggan dan pengedar selepas menghantar maklumat serta dokumen lengkap.

“Buat masa ini platform InstaApproval CIMB adalah terpantas di pasaran dan ia tidak hanya menunjukkan komitmen kami dalam inovasi digital melalui Strategi T18, malah penanda aras dalam penambahbaikan pengalaman pelanggan.

“Pembiayaan Auto 1 Minit InstaApproval CIMB boleh didapati di bilik pameran pengedar terpilih.

“Setakat ini sebanyak tujuh pengedar rasmi yang mengambil bahagian dan kami akan menambah bilangan itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pelancaran Pembiayaan Auto 1 Minit InstaApproval CIMB di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Zafrul Aziz. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.