Fara Hazel nafi gugurkan Erry Putra

PENYANYI, Fara Hazel menafikan bertindak mengugurkan nama pelakon dan penyanyi Erry Putra untuk terbabit dalam muzik video lagu ketiganya, Pasrah selepas putus cinta dengan jejaka itu.

Fara atau Nurfaraazira Yusri, 22, berkata, keputusan itu dibuat oleh syarikat pengurusannya selepas melakukan pindaan terhadap jalan cerita asal seperti dicadangkan sebelumnya.

“Saya bernaung di bawah label mereka dan sebagai artis saya ikut saja keputusan mereka. Apa baik buat saya, kenalah akur.

“Mereka sudah memilih seorang pelakon lelaki lain bagi menggantikan tempat Erry dan saya tiada masalah untuk menerimanya.

“Penggambaran muzik video pun sudah siap sepenuhnya tetapi buat masa ini saya perlu merahsiakan siapa pelakon itu kerana pelancarannya akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada Harian Metro.

Kakak kepada Aiman Tino ini pernah mendedahkan sedang menjalin hubungan cinta dengan Erry Putra.

Hubungan mereka terjalin apabila kedua-duanya berkenalan menerusi Instagram sejak enam bulan lalu dan Farah mengakui mereka dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

Mengulas perkembangan terbaru hubungan mereka, Fara mengakui hubungannya dengan Erry Putra kini tidak lebih sebagai seorang kawan biasa.

“Biarlah kami kekal sebagai kawan dan rasanya lebih selesa cara itu. Asalnya saya minat Erry kerana lakonannya.

“Daripada situ saya bercadang nak masukkan dia dalam muzik video Pasrah. Mungkin daripada situ saya tiba-tiba menyukainya.

“Bagaimanapun seperti saya tegaskan tadi, sekarang kami hanya berkawan. Mungkin boleh dikatakan kami ibarat kawan tapi mesra,” katanya.

Fara turut menafikan hubungan mereka keruh akibat campur tangan keluarganya dan tidak mahu mereka dibabitkan.

“Ini adalah keputusan kami berdua juga. Kami sekarang senang menjelaskan sebagai kawan sahaja tanpa ada perasaan dendam.

“Saya masih okay dengan dia. Mungkin sebelum ini saya seronok dan lalai. Apabila kenal dia, tanpa berfikir panjang terus mengaku bercinta.

“Semakin lama kenal dia dan menyelami hati budinya, rasanya biarlah kami berkawan sahaja. Saya tak anggap berkawan dengannya satu kesilapan sebaliknya sebagai pengalaman dalam hidup,” katanya. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.