Gambar Puteri Arab Saudi Memandu Undang Kontroversi

DUBAI: Muka depan majalah Vogue yang memaparkan puteri Arab Saudi memandu kereta merah tanpa bumbung mencetuskan perbahasan hangat, susulan penangkapan aktivis wanita yang memandu.

Imej Puteri Hayfa bint Abdullah al-Saud, di kerusi pemandu memakai sarung tangan kulit dan kasut tumit tinggi, disiarkan pada muka depan majalah Vogue versi Arab edisi Jun, diterbitkan ketika negara itu bersedia menarik balik larangan memandu ke atas wanita.

Isu itu ditujukan kepada wanita Arab Saudi yang inovatif dan memuji pembaharuan dilancarkan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, yang mahu mengendurkan sekatan sosial di negara itu dan mengekang kuasa golongan ulama.

“Di negara kami, ada golongan konservatif yang takutkan perubahan. Bagi ramai yang lain, itu sahaja yang mereka ketahui.

“Secara peribadi, saya menyokong perubahan itu dengan amat gembira,” Puteri Hayfa, anak perempuan kepada Raja Abdullah, dipetik sebagai berkata oleh majalah itu.

Gambar itu dirakamkan di padang pasir di luar Jeddah.

Namun imej berkenaan tidak menarik minat kumpulan wanita yang membantah penangkapan sekurang-kurangnya 11 aktivis, kebanyakannya dikenal pasti kumpulan hak sebagai wanita yang menyokong hak memandu dan menamatkan sistem penjagaan lelaki di negara itu. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.