Pengurangan Kadar Tol Di Plaza Tol Sungai Besi Berikutan Penamatan Konsesi Lebuhraya METRAMAC

Lanjutan daripada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bertajuk PENAMATAN KUTIPAN TOL JAJARAN KUALA LUMPUR-SEREMBAN EXPRESSWAY DAN SALAK EXPRESSWAY (YANG DAHULUNYA DIKENALI SEBAGAI SEBAHAGIAN DARIPADA JAJARAN METRAMAC) BERAKHIR PADA 31 MEI 2018, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ingin mengambil peluang untuk memberi penerangan lanjut tentang pengumuman tersebut.

Untuk makluman, jajaran yang dimaksudkan di dalam kenyataan media tersebut adalah melibatkan laluan di antara Plaza Tol Sg Besi sehingga Persimpangan Jalan Klang Lama-Taman Desa (Sila rujuk peta yang dilampirkan).

Sehingga 31 Mei 2018, kutipan tol di laluan tersebut telah dikutip oleh PLUS bagi pihak Metramac yang merupakan pemegang konsesi bagi lebuhraya tersebut.

Berkuatkuasa 1 Jun 2018, tiada lagi bayaran tol dikutip oleh PLUS bagi pihak Metramac. Pemberhentian kutipan tol ini adalah berikutan berakhirnya Konsesi Lebuhraya Metramac pada 31 Mei 2018 sepertimana yang dijadualkan.

Ini bermakna, dengan penamatan tempoh Konsesi Lebuhraya Metramac tersebut, bayaran tol di semua laluan keluar dan masuk di Plaza Tol Sungai Besi di Lebuhraya PLUS ke destinasi Utara sehingga Juru atau destinasi Selatan sehingga Skudai dikurangkan di antara RM0.40 sehingga RM1.70 bergantung pada kelas kenderaan.

Sebagai contoh, bagi kenderaan Kelas 1, kadar tol baharu bagi laluan UPM-Sungai Besi, adalah RM0.80 berbanding RM1.60 sebelum ini. Pengguna laluan tersebut kini menikmati pengurangan kadar tol sebanyak RM0.80.

Berikut adalah beberapa contoh bayaran tol baharu mulai 1 Jun 2018 yang melibatkan transaksi keluar atau masuk di Plaza Tol Sungai Besi Lebuhraya PLUS/ELITE di laluan antara Juru (Utara) hingga Skudai (Selatan):-

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan kadar kutipan tol yang baharu bagi laluan-laluan lain di antara Juru-Skudai di lebuh raya kendalian PLUS menerusi laman web di www.plus.com.my atau aplikasi PLUS Mobile App.

 

Artikel Berkaitan: Hapus tol KL-Seremban, Salak bukan jasa PH

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mendakwa penghapusan tol di jajaran Kuala Lumpur-Seremban Expressway dan Salak Expressway mulai hari ini, bukanlah jasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To, berkata tol pada kedua-dua laluan itu dihapuskan kerana konsesi untuk kedua-dua jajaran yang dulunya diberikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sekitar tahun 1990an tamat pada jam 12 tengah malam tadi.

“Kedua-dua konsesi itu yang berada di bawah syarikat ANIH Bhd, tidak pernah dilanjutkan oleh kerajaan BN ketika di bawah kepemimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Datuk Seri Najib Razak.

“Justeru, penyokong PH dan Tun Mahathir tak payah perasan. Mereka patut terus tuntut PH untuk menghapuskan segala tol di Malaysia seperti dijanjikan oleh mereka dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya menerusi satu kenyataan media, pagi ini.

Semalam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan tiada lagi kutipan tol di jajaran Kuala Lumpur-Seremban Expressway dan Salak Expressway di Plaza Tol Sungai Besi kendalian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 12 tengah malam tadi.

LLM dalam kenyataannya, berkata dengan penamatan tempoh konsesi jajaran berkenaan, bayaran tol bagi semua laluan keluar dan masuk di Plaza Tol Sungai Besi dikurangkan di antara RM 0.40 hingga RM1.70.

“Penamatan ini sekali gus akan memberi manfaat kepada hampir 130,000 kenderaan yang menggunakan plaza tol berkenaan setiap hari.

“Pengguna yang melalui Plaza Tol Sungai Besi kini hanya perlu membayar tol mengikut jajaran Lebuhraya PLUS yang dilalui mereka sahaja,” kata kenyataan itu.

Katanya, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan kadar kutipan tol yang baharu menerusi laman web www.plus.com.my atau aplikasi PLUS Mobile App.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.