‘Kehilangan’ Musa Aman, Jamal: Tiada Rekod Keluar Negara Ditemui – JIM

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan tiada rekod ke luar negara ditemui bagi bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Pemimpin Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kedua-duanya juga sudah disenarai hitam daripada keluar negara.

“Kita tidak tahu di mana mereka berada, setakat ini kami tiada rekod keluar bagi kedua-dua mereka.

“Tapi, kalau mereka keluar menerusi pintu tidak sah, itu menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, mengikut Akta Imigresen 1959/1963, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta kerjasama pihak berkuasa Indonesia untuk membantu memburu Jamal, yang dikatakan melarikan diri ke Indonesia.

Kelmarin, dalam satu rakaman video yang berlatar belakangkan kebun kelapa sawit, Jamal meminta Muhyiddin untuk memberi jaminan perlindungan kepadanya kerana mendakwa dirinya dianiaya.

Sebelum itu, Jamal juga tidak hadir di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya, selepas berjanji untuk tampil memberi kerjasama kepada pihak polis bagi membantu beberapa kes termasuk dakwaan mempamerkan senjata api di khalayak umum.

Sementara itu, seorang pengguna laman sosial Facebook pula mendakwa melihat kelibat Musa di Stesen Kereta Api St Pancras International, London.

Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Az Eem itu turut memuat naik video sepanjang 10 saat yang kemudian turut menjadi viral.

Video itu yang dimuat naik semalam dengan petikan : ‘Ex-cm Sabah spotted at St. Pancras, London. Rafizi Ramli INVOKE Malaysia’ atau bekas ‘bekas Ketua Menteri Sabah dilihat di St Pancras, London’ turut dihantar secara khusus kepada Invoke Malaysia (INVOKE), iaitu sebuah pusat kaji selidik diasaskan Rafizi Ramli.

Musa dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkaitan ugutan jenayah.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut hadir ke kediaman Musa, namun tidak dapat memasukinya kerana beliau tiada di rumah.

Ia berhubung siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.