Maritim Malaysia Tumpaskan Perompak Indonesia

KETUA Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar (kanan) dengan kerjasama TNI menahan sekumpulan 14 perompak termasuk dua dalang merompak sebuah kapal tangki minyak diberkas dan ditumpaskan oleh PTK Maritim Malaysia di atas kapal MT Bright di perairan Mersing, Tanjung Sedili. – Foto Mohd Azren Jamaludin

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengambil masa kurang 10 minit untuk menumpaskan sekumpulan 14 perompak Indonesia, di perairan berhampiran Mersing, pagi tadi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar, berkata Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia diterbangkan dengan helikopter AW139 dari Kuantan, Pahang, bagi menjejaki kapal perompak terbabit selepas mereka menyamun sebuah kapal dagang di perairan berhampiran kira-kira jam 3 pagi.

“Perompak terbabit merompak sebuah sebuah kapal dagang MT Lee Bo, yang didaftarkan di Mongolia. Kapal ini membawa 12 anak kapal, terdiri daripada enam warga Indonesia dan enam Sri Lanka berusia 30-an hingga 50-an.

“Apabila perompak mendapati kapal itu tidak membawa diesel, mereka merompak barang peribadi mangsa serta mencederakan beberapa mangsa.

“Perompak berkenaan kemudian pulang ke kapal dagang bernama MT Bright dan berlegar-legar di kawasan berhampiran,” katanya pada sidang media di Pangkalan Maritim Malaysia Tanjung Sedili, hari ini.

Zulkifli berkata, seorang anggota PTK Maritim Malaysia bertindak sebagai penembak tepat kekal di atas helikopter, manakala enam anggota lain menyerbu kapal itu.

Difahamkan, ketika serbuan dilakukan, pasukan berkenaan meluru ke dek kapal dan tidak berdepan sebarang tentangan daripada perompak berusia 30-an hingga 50-an.

“Hasil siasatan di dalam kapal itu membawa kepada penemuan beberapa barangan peribadi kru MT Lee Bo, termasuk wang tunai.

“Hasil siasatan, kami dapati mereka berada di kawasan sekitar sejak hampir tiga hari lalu, dipercayai untuk merompak kapal tangki minyak.

“Kami juga menemui beberapa senjata tajam seperti parang dan pisau, dipercayai digunakan untuk melakukan rompakan,” katanya.

Hasil soal siasat, Maritim Malaysia dengan kerjasama rakan strategik, Wastern Fleet Quick Response dari Tentera Nasional Indonesia (TNI), menahan dua lelaki di Pulau Batam pada jam 9.30 pagi.

Katanya, kedua-dua lelaki berusia 40 tahun dan 50 tahun itu dipercayai dalang utama kumpulan berkenaan dan akan dibawa ke Malaysia bagi membantu siasatan.

“Semua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan secara berkumpulan,” katanya.

Pada masa sama, Maritim Malaysia turut menyiasat tujuan MT Lee Bo, berlegar-legar di perairan negara dan akan mengambil tindakan jika didapati melakukan kesalahan.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.