Pembatalan projek HSR dianggap sebagai langkah bijak

Kuala Lumpur: Pembatalan projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menelan kos RM110 bilion adalah langkah bijak, kata Ketua Ahli Ekonomi merangkap Ketua Penyelidik Kumpulan Ambank, Dr Anthony Dass.

Beliau berkata, walaupun pembatalan projek itu berkemungkinan menyebabkan kerajaan menanggung kos sehingga RM500 juta dalam penalti, iaitu bersamaan 0.45 peratus jumlah keseluruhan kos projek, tetapi ia dilihat masih boleh diurus.

“Keputusan kerajaan untuk membatalkan projek HSR kelihatannya adalah langkah bijak kerana kos projek berkemungkinan lebih besar berbanding manfaat kepada ekonomi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Anthony berkata, keputusan itu pastinya adalah satu rintangan kepada syarikat pembinaan dan kereta api di Asia, termasuk dari China dan Jepun yang berminat untuk mendapatkan sebahagian daripada kontrak kerja projek mega itu.

Beliau berkata, projek itu boleh mengambil masa lebih panjang daripada jangkaan untuk membolehkannya mula meraih pulangan modal, dengan mengambil kira persaingan sengit mod penyambungan lain seperti laluan darat dan udara.

Daya maju projek HSR itu amat bergantung kepada harga tiket dan jumlah penumpang.

“Langkah pembatalan itu memberi ruang kepada penjimatan, terutamanya dengan hutang kerajaan yang meruncing pada RM1.09 trilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.