Raja Jordan Tangguh Kenaikan Harga Minyak, Elektrik

AMMAN: Raja Abdullah hari ini mengarahkan kerajaan Jordan membekukan kenaikan baharu harga minyak dan elektrik, selepas penduduk mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara yang berdepan masalah kekurangan tunai itu.

Pada lewat semalam dan awal hari ini, ratusan warga Jordan mengadakan tunjuk perasaan di Amman dan beberapa bandar lain untuk mendesak ‘kejatuhan kerajaan’ dengan menyekat jalan raya menggunakan kereta dan tayar yang dibakar.

Bantahan itu berlaku selepas kerajaan meluluskan kenaikan harga minyak sebanyak 5.5 peratus dan kenaikan tarif elektrik sebanyak 19 peratus selain merancang untuk melaksanakan cukai pendapatan baharu.

Bagaimanapun, Raja mengarahkan kenaikan harga yang mula berkuatkuasa pada hari ini ditangguhkan, ketika penduduk majoriti Muslim negara itu sedang menjalankan ibadat bulan Ramadan, kata agensi berita rasmi Petra.

Harga barangan di Jordan meningkat dengan stabil, sejak beberapa tahun lalu, ketika kerajaan kekurangan dana melaksanakan reformasi ekonomi yang dituntut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Negara itu mempunyai hutang kerajaan kira-kira AS$35 bilion (RM139.38 bilion) bersamaan 90 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 2016, negara itu berhutang AS$723 juta (RM2.87 bilion) daripada IMF untuk menyokong reformasi ekonomi dan kewangan. IMF menuntut Jordan mengurangkan subsidi dan meningkatkan cukai untuk mendapat tambahan pinjaman.

Awal tahun ini, harga roti meningkat sekali ganda di Jordan selepas subsidi makanan ruji itu dihentikan selain pertambahan beberapa cukai nilai tambah (VAT) atau GST membabitkan banyak barangan termasuk rokok.

Sejak awal tahun ini, harga minyak di negara itu sudah naik lima kali, sementara tarif elektrik meningkat sehingga 55 peratus, sejak Februari lalu.

Menurut data rasmi, 18.5 peratus daripada 9.5 juta penduduknya menganggur, sementara 20 peratus lagi di ambang kemiskinan memandangkan negara itu tidak mempunyai banyak sumber asli. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.