Satu Lagi Janji Dalam Manifesto PH Iaitu Pas Pengangkutan Awam RM100 Terpaksa Dikaji Semula

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika sidang media sempena lawatan kerja ke ibu pejabat SPAD, Platinum Sentral. – Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi pas pengangkutan awam tanpa had bernilai RM100 terpaksa diteliti semula.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata keputusan itu terpaksa diambil kerana menyebabkan kesan kewangan yang besar menerusi penyediaan subsidi oleh kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan membawa perkara berkenaan untuk dibincangkan pada mesyuarat Kabinet bagi meneliti mekanisme bersesuaian.

“Kalau kita perkenalkan (pas pengangkutan awam tanpa had), ia akan menyebabkan implikasi kewangan yang amat besar, justeru perlu diperhalusi selanjutnya pada mesyuarat Kabinet.

“Keputusan berhubung pelaksanaan pas pengangkutan awam akan diumumkan dalam tempoh terdekat memandangkan Kementerian Kewangan masih dalam peringkat kajian mengenainya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Ditanya anggaran subsidi perlu diperuntukkan kerajaan, Siew Fook berkata, maklumat berkenaan tidak akan didedahkan, namun perangkaan sebenar bakal diumumkan pasca mesyuarat Kabinet.

Katanya, perancangan memberi pas pengangkutan awam itu diteliti sebelum ini ketika fasa merangka manifesto sebelum PH membentuk kerajaan.

“Bagaimanapun, ketika masih menjadi pembangkang, kita tidak mempunyai capaian kepada perangkaan sebenar dan maklumat berkaitan untuk memberi jangkaan lebih tepat mengenai jumlah subsidi yang perlu diperuntukkan.

“Oleh itu, pasca kemenangan PH dan membentuk kerajaan, kita dapati penyediaan pas perkhidmatan awam tanpa had dengan nilai RM100 ini bakal menyebabkan implikasi kewangan yang besar, susulan perangkaan dan maklumat berkaitan,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.