Najib bentang usul mansuh dua akta minggu depan

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan membentangkan usul memansuhkan Akta Buang Negeri 1956 dan Akta Kediaman Terhad 1933 pada sesi persidangan Dewan Rakyat minggu depan.

Katanya, pindaan ke atas Seksyen 27 Akta Polis 1967 akan dibentangkan pada November ini manakala usul pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akan digantikan dengan dua akta baru akan dibentangkan pada Mac tahun depan.

“Yang mana boleh kita buat cepat, kita buat cepat.

“Kita kena beri tumpuan supaya langkah menepati hasrat dan tujuan. Kita tidak boleh terburu-buru. Ada banyak perkara yang perlu dikaji dengan teliti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini hari ini.

Presiden UMNO itu berkata, Majlis Tertinggi UMNO memberi sokongan penuh kepada pengumuman beliau pada malam menjelang Hari Malaysia 15 September lepas untuk memansuhkan beberapa enakmen termasuk Ordinan Darurat, Akta Kediaman Terhad 1933 serta pemansuhan ISA yang akan digantikan dengan dua akta baru. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.