Kertas siasatan akan diserah dalam tempoh terdekat – KPN

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung dakwaan seorang Ahli Parlimen mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dikatakan berlaku di Perlis akan diserahkan kepada Timbalan Pihak Pendakwa Raya (DPP) dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata keterangan ahli Parlimen itu sudah dirakam, bagaimanapun kertas siasatan masih belum diserahkan kepada pihak DPP.

“Kita akan serahkan kertas siasatan yang lengkap kepada DPP berhubung dakwaan beliau mencabul itu dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pemantapan Integriti Bebas Rasuah Warga PDRM di Maktab PDRM di Cheras, di sini, hari ini.

Media pada Selasa lalu melaporkan, Polis Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman merakamkan keterangan ahli parlimen itu selama enam jam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul seorang remaja perempuan di Perlis baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Fuzi memaklumkan pihaknya juga sedang menunggu arahan daripada DPP berhubung kes pegawai khas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman merakam video bawah skirt seorang petugas wanita di kedai cermin mata di Solaris Dutamas.

“Kita sudah serahkan kertas siasatan yang lengkap kepada DPP dan masih menunggu jawapan untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Pada 11 November lalu, Mohd. Farish Hussain, bekas pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman ditahan polis bagi membantu siasatan kes rakaman video bawah skirt wanita di sebuah premis cermin mata di ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.