Pindaan draf akan menggandakan asas cukai pendapatan, meletakkan lebih banyak tekanan kewangan kepada rakyat yang sudah mende­rita akibat kenaikan cukai terdahulu dan kenaikan harga barang.

Kenaikan itu adalah syarat program ekonomi tiga tahun IMF yang bertujuan menjana lebih banyak pendapatan bagi mengurangkan hutang negara.

Menurut portal berita Arab News, Ketua Jabatan Cukai Pendapatan Jordan, Hussam Abu Ali berkata, kerajaan sudah bersedia membentangkan undang-undang tersebut di Parlimen.

Pakar-pakar politik percaya Parlimen tidak mungkin menolak draf undang-undang tersebut yang datang dari kerajaan walaupun dilihat tidak popular.

Undang-undang baharu me­ngurangkan jumlah pendapatan minimum yang layak dikenakan cukai kepada 8,000 dinar Jordan (RM44,880) untuk individu dan 16,000 dinar Jordan (RM89,773) bagi mereka yang sudah berkeluarga serta menetapkan kenaikan cukai berperingkat melibatkan gaji melebihi jumlah tersebut.

Jelas Hussam, ketika ini cukai pendapatan menyumbang 12 peratus daripada pendapatan kerajaan apabila hanya lebih daripada empat peratus penduduk membayarnya.

“Undang-undang ini akan membantu menambah baik keseimbangan dan akhirnya membolehkan kerajaan mengurangkan cukai jualan sebanyak 16 peratus,” katanya.

Kesatuan pekerja sektor swasta dan awam menyifatkan undang-undang itu hanya menambah tekanan yang dihadapi oleh ahli-ahlinya.

Percubaan terakhir menghentikan mogok pada Selasa lalu gagal apabila ketua kesatuan menolak sebarang perbincangan sehingga pemerintah menarik balik draf undang-undang tersebut.

Sektor yang paling terjejas te­ruk ialah hospital apabila semua kakitangan menyertai mogok kecuali unit kecemasan dengan penunjuk perasaan berkumpul di luar pejabat Kesatuan Profesional di Amman menggesa kerajaan menghormati kehendak rakyat.

Jordan pada awal tahun ini menaikkan kadar cukai ke atas ratusan barang keperluan dan makanan dengan menyatukan kadar cukai jualan kepada 16 peratus dan menghapus pengecualian ke atas barangan asas termasuk membatalkan subsidi roti. – Utusan Harian