Pulanglah Jamal, Polis Tidak Akan Apa-apakan Anda Kerana Mereka Sedang Dipantau Rakyat – Rafizi

Kuala Lumpur: Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli meminta Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berani berdepan dengan cabaran politik semasa dan memberi kerjasama kepada polis.

Rafizi berkata Jamal sepatutnya yakin terhadap integriti dan ketelusan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tugas.

“Saya nasihatkan Datuk Jamal pulanglah dan lapor diri ke balai polis. Mereka tidak akan apa-apakan Datuk Jamal. Mereka tahu mereka dipantau rakyat.

“Saya dulu selamba je keluar masuk lokap, itu asam garam berjuang. Pulanglah Datuk Jamal,” katanya menerusi Twitternya hari ini.

Jamal yang didakwa berada di Indonesia kini dikenakan waran tangkap oleh PDRM yang turut meminta kerjasama pihak berkuasa Indonesia membantu memburunya.

Pengerusi Gerakan Baju Merah itu sudah didakwa atas tiga kes iaitu mempamerkan senjata api serta dua kesalahan lain ketika di Hospital Ampang Puteri, Ampang, 25 Mei lalu dan masih mempunyai baki enam kes yang belum dituduh.

Bagaimanapun dia menghilangkan diri selepas diberikan ikat jamin dan tidak sempat untuk menyelesaikan proses berkenaan.

Selepas gagal hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, kelmarin, dia tiba-tiba muncul dalam rakaman video di sebuah ladang kelapa sawit yang tidak diketahui lokasinya dan mendakwa keselamatan diancam.

Dalam pada itu, Mohd Rafizi juga berterima kasih kepada penyokongnya yang mendoakan supaya kesnya di mahkamah semalam dipermudahkan.

“Saya ditanya adakah saya perlu lapor diri ke mahkamah tiap-tiap bulan sebagai syarat berkelakuan baik. Sebenarnya tidak, tapi apa pun insya-Allah saya tidak akan lari ke ladang kelapa sawit,” katanya.

Semalam beliau dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM10,000 oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, terhadap kesalahan mendedahkan kandungan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan itu selepas mengetepikan hukuman 18 bulan penjara yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan itu sebelum ini.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.