Susah Nak Laksana Janji 100 Hari – Mahathir

LANGKAWI 1 Jun – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad me­ngakui kerajaan pimpinannya sukar menunaikan Janji 100 Hari Pakatan Harapan yang menjadi manifesto gabungan itu dengan menjadikan status kewangan negara ketika ini sebagai alasan.

Walaupun pernah membuat janji tersebut kepada rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata beliau, ia bagaimanapun tidak bersandarkan kepada keadaan kewangan negara ketika ini yang disifatkan sebagai terlalu buruk.

“Kemenangan ini membawa beban yang amat besar kerana kita membuat pelbagai janji kepada rakyat supaya kehidupan menjadi lebih bahagia daripada sebelumnya.

“Kita buat janji berasaskan kepada pengetahuan yang tidak mencukupi kerana kita tidak tahu setakat mana kerosakan yang berlaku dan hari ini kita dapati dalam jangka masa 100 hari, kita akan tunaikan 10 perkara tetapi malangnya perkara-perkara ini tidak mudah ditangani.

“Sebab itu kita terpaksa me­ngakui bahawa kita mungkin akan mengambil masa lebih 100 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampai­an Sumbangan dan Berbuka Puasa di Masjid Al-Hana, Kuah di sini, hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini turut mengakui kerajaan mungkin terpaksa menangguhkan 10 inisiatif yang dijanjikan kerana kekangan kewangan.

Kata Guan Eng, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara beberapa inisiatif tersebut sehingga keadaan kewangan negara bertambah baik.

Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berharap rakyat akan memahami situasi tersebut seterusnya memberi peluang dan kepercayaan kepada kerajaan untuk melaksanakan janji tersebut walaupun bakal mengambil masa yang panjang.

“Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan akan faham bagaimana susah­nya usaha untuk mentadbir negara setelah ia menjadi rosak,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pasca PRU-14, semua rakyat tanpa mengira sempadan politik kembali bersatu demi keharmonian negara.

“Kadang-kadang kita rasa marah dengan parti lawan sehingga kita bawa permusuhan ini bukan setakat pilihan raya umum sahaja tetapi seterusnya sehingga kita tidak dapat berbaik, bersaudara sesama kita.

“Ini bertentangan dengan ajaran Islam terutama orang Islam adalah bersaudara dan mereka tidak harus bermusuh sebaliknya bekerjasama,” katanya.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar di sini, katanya, kerajaan membuka ruang untuk pelaburan di negara ini termasuk di Langkawi bagi semua pihak dan bukan semata-mata kepada individu tertentu.

Walau bagaimanapun Perdana Menteri berkata, syarikat atau pihak berkenaan harus menepati saluran dan syarat yang ditetapkan bagi mendapat kelulusan.

“Kita nak ada pelaburan di sini (Langkawi) semua orang boleh datang, bukan sahaja Tan Sri Ting Pek Khiing. Dulu masa Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau (Pek Thiing) bankrap tetapi dia nak bina semula perniagaannya.

“Kita sokong semua jenis pelaburan,” jelasnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.