Tembak rakan, bunuh diri

LELAKI menembak rakannya dengan senapang patah sebelum dipercayai menembak diri sendiri berhampiran restoran di Kampung Koh, Sitiawan, malam tadi.

Kes berkenaan yang dilaporkan berlaku kira-kira 11 malam mengakibatkan kedua-dua lelaki terbabit maut.

Beberapa rakaman video dan gambar ngeri kejadian itu turut tersebar di media sosial sejak tengah malam tadi.

Difahamkan kejadian berlaku akibat perselisihan faham antara dua rakan berkenaan yang sebelum kejadian minum bersama di restoran berhampiran.

Berdasarkan rakaman video yang tular, lelaki dipercayai menggunakan senapang patah menembak empat das kepada mangsa yang terbaring atas jalan serta mengambil pistol daripada poket seluar mangsa.

Mangsa berusia 66 tahun ditembak di kaki dan tangan.

Lelaki yang menembak mangsa kemudiannya beredar dan dilaporkan ditemui mati dipercayai menembak diri sendiri di kepala dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat lelaki berusia 62 tahun itu ditemui di tempat duduk pemandu bersama sepucuk pistol serta senapang patah yang digunakan untuk menembak mangsa.

Sementara itu, polis dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook (FB) Polis Daerah Manjung, melaporkan Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman mengesahkan kejadian dan menggesa orang ramai supaya memadam rakaman video dan gambar mangsa yang sudah dikongsi di FB.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menghentikan penyebaran video dan gambar-gambar mangsa kes tembak yang berlaku di tempat letak kereta berdekatan sebuah restoran di Sitiawan pada malam tadi.

“Penyebaran video dan gambar itu di dalam FB dan aplikasi WhatsApp akan mengundang gangguan emosi terhadap pihak-pihak tertentu terutamanya keluarga mangsa dan ia juga akan mendatang rasa takut serta kebimbangan kepada orang awam selain mengganggu siasatan pihak polis terhadap kes ini,” menurut kenyataan itu.- Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.