Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan Mexico mengkritik tindakan AS mengenakan cukai import besi dan aluminium malah rasa tidak puas hati itu juga disuarakan oleh ahli politik kanan Republikan.

Pemimpin-pemimpin dari ne­gara yang terjejas berang dan menyatakan hasrat mereka untuk melancarkan ‘serangan balas’ dengan mengenakan tarif terhadap barangan AS, daripada besi sehinggalah beg tidur dan pen mata bola.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mempunyai hubu­ngan baik dengan Trump menghubungi pemimpin AS itu melalui telefon dan menegaskan langkah yang dilakukan oleh negara kuasa besar dunia adalah adalah ‘haram’.

Menurut Istana Elysee, Mac­ron turut memberitahu Trump bahawa EU akan bertindak balas ‘dengan tegas dan dalam kapasiti sama’, lapor portal BBC.

Trump mempertahankan tindakan beliau dengan alasan para pengeluar aluminium dan besi adalah penting untuk keselamatan negara dan negara itu diancam oleh penawaran yang berlebihan.

Bagaimanapun, alasan Trump ditolak oleh sekutunya dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai ‘menghina’.

“Tindakan yang menyatakan Kanada sebagai ancaman kepada AS sukar untuk dipercayai,’’ katanya.

Tindakan Trump juga disifatkan Eropah sebagai ‘tidak mahu bertindak mengikut peraturan’

Setiausaha Perdagangan Antarabangsa United Kingdom (UK), Liam Fox berkata, levi sebanyak 25 peratus terhadap besi adalah ‘jelas tidak masuk akal’.

“Tindakan pentadbiran Trump itu bersifat ‘melindungi’ malah amat mengecewakan jika hubu­ngan dengan sekutu rapat ini membawa kepada perang perdagangan,’’ katanya.

Menteri Luar Mexico, Luis Vi­degaray berkata negaranya turut mengenakan duti terhadap barangan AS. – Utusan Online