Fahami, hayati kontrak sosial jamin kestabilan

KEBELAKANGAN ini kita sering mendengar isu sensitif dibangkitkan menyentuh soal kontrak sosial dalam Perlembagaan. Isu berkaitan agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, bahasa Melayu serta kedaulatan Raja-Raja Melayu datang silih berganti.

Era langit terbuka membolehkan semua orang bercakap apa sahaja yang mereka mahu. Ini membuka peluang sebahagian masyarakat untuk mempersoalkan kerelevanan kontrak sosial ini, lebih-lebih lagi dalam era Malaysia baharu. Keadaan ini mampu menggugat kestabilan dan keharmonian negara jika tidak ditangani dengan bijaksana.

Dalam hal ini, penting untuk kita memahami prinsip keseimbangan dalam mencapai kestabilan. Lebih-lebih lagi dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia 2017, populasi penduduk negara kita dianggarkan berjumlah 32 juta orang. Daripada jumlah itu, 68.8 peratus kaum Melayu dan etnik Bumiputera, 23.2 peratus Cina, 7.0 peratus India dan satu peratus kaum lain.

Statistik ini jelas menunjukkan, lebih dua pertiga daripada penduduk Malaysia ialah orang Melayu dan etnik Bumiputera.

Fizik keseimbangan

Dalam ilmu fizik, ada satu topik yang membicarakan mengenai keseimbangan (equilibrium). Topik keseimbangan ini penting apabila kita ingin menentukan kestabilan sesuatu objek.

Contohnya sebuah bangunan atau jambatan yang ingin dibina perlu mengambil kira keseimbangannya supaya apa-apa daya yang bertindak ke atasnya seperti daya graviti, angin atau berat beban tidak akan menyebabkannya runtuh.

Dalam hal ini, kedudukan pusat keseimbangan objek memainkan peranan penting. Titik ini perlu ditentukan kerana di situlah seolah-olah keseluruhan daya graviti bertindak.

Pusat keseimbangan tidak semestinya berada di tengah, tetapi bergantung kepada jisim setiap elemen yang terkandung dalam objek berkenaan.

Untuk memahami perkara ini, mari kita ambil satu contoh mudah. Katakan tiga orang yang mempunyai jisim yang sama menaiki suatu jongkang-jongket. Dua orang berada di sebelah kanan, manakala seorang lagi berada di sebelah kiri.

Bagaimana kita boleh mengekalkan keseimbangan dan kestabilan papan jongkang-jongket itu?

Ada dua cara, iaitu sama ada dengan mendekatkan kedua-dua orang berkenaan kepada fulkrum. Ataupun sebaliknya, fulkrum dialihkan mendekati dua orang itu.

Dalam contoh ini, kumpulan yang mempunyai jisim yang lebih besar mesti berada dekat dengan fulkrum supaya keseimbangan dan kestabilan dapat dicapai.

Kestabilan negara

Begitulah juga dalam konteks keseimbangan dan kestabilan sesebuah negara. Kontrak sosial yang digubal dalam Perlembagaan seumpama fulkrum bagi sebuah jongkang-jongket.

Kontrak sosial ini harus dekat dengan kelompok terbesar dalam masyarakat bagi menjamin keseimbangan dan kestabilan sesebuah negara.

Dalam konteks Malaysia, apa-apa perkara yang membabitkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera sebagai masyarakat majoriti, perlu diberi keutamaan.

Ini termasuk dalam soal dasar negara yang diterjemahkan dalam bentuk program kerajaan.

Hal ini penting bagi menjamin kestabilan negara, apatah lagi jika kita mengambil kira faktor sejarah tamadun Melayu yang sememangnya berakar di rantau Nusantara. Jika akarnya dirobek, natijahnya tumbanglah pokok.

Pemahaman ini membolehkan kita melihat hikmah di sebalik hadis Rasulullah SAW berkaitan kepemimpinan kaum Quraisy dalam kalangan masyarakat Arab. Baginda menekankan pentingnya urusan pemerintahan sentiasa di tangan kaum Quraisy.

Hadis ini bukan bermaksud Baginda menyuruh kepada perkauman, tetapi menggambarkan kebijaksanaan dan pandangan jauh Rasulullah SAW dalam mewujudkan kestabilan dalam masyarakat Arab.

Ini mengambil kira konteks kaum Quraisy yang lebih dominan dalam masyarakat Arab pada masa itu.

Kesimpulannya, kontrak sosial harus dilihat dalam konteks yang lebih besar iaitu mewujudkan keseimbangan sosial dan menjamin kestabilan negara.

Kontrak sosial ialah hasil kebijaksanaan dan pandangan jauh pemimpin terdahulu, walaupun kelihatan bersifat perkauman dan tidak adil.

Kontrak sosial juga menggambarkan tahap toleransi dan permuafakatan yang tinggi pelbagai kaum dan agama demi kehidupan bernegara yang harmoni.

Rakyat Malaysia harus menyedari bahawa keadilan tanpa memahami keadaan setempat boleh menggugat kestabilan negara. Apa guna dilihat adil sedangkan negara tercinta ini tidak tenteram.

Penulis ialah Pensyarah Fizik Perubatan, Program Sinaran Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.