KAMARUDIN HASHIM
KAMARUDIN HASHIM

Itu yang dikongsikan oleh bekas Timbalan Pegawai Turus Operasi Pasukan F, Cawangan Khas E3M, Bukit Aman, Kamarudin Hashim mengenai kekejaman komunis terhadap rakyat dan pasukan keselamatan.

“Kekejaman mereka memang tidak boleh diterima akal dan sesiapa sahaja yang bersimpati dengan komunis adalah orang yang tidak sedar diri.

“Komunis tidak membuat apa pun untuk kemerdekaan negara, sebaliknya mereka menentang negara dan membunuh pasukan keselamatan hanya kerana mahukan kuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Kamarudin, dia sendiri melihat ba­gai­­mana ang­­gotan­ya dibunuh hingga terburai perut, dibakar dan pelbagai lagi ke­kejaman lain.

Jelasnya, pa­­sukan kese­la­ma­tan berjuang selama 20 tahun untuk menghapuskan komunis dan menjadi negara pertama yang menamatkan perjuangan bersenjata komunis.

“Pasukan keselamatan berkorban bermacam-macam untuk menangkap dan menghapuskan komunis sehingga ke akar umbi.

“Kalau betul mereka nak ubah sejarah, tambah sejarah perjuangan polis untuk kebebasan rakyat dan bukan me­ngangkat perjuangan komunis yang penuh dengan kekejaman,” jelasnya.

Kampung dibakar ( KES 2 )

ABDUL KALAM SUHAIMI
ABDUL KALAM SUHAIMI

KUALA LUMPUR 31 Julai – Sudah­lah ditembak hingga mati, mayat itu kemudian dipotong kemaluannya dan disumbat ke dalam mulut.

Itulah antara kekejaman komunis terhadap anggota polis yang masih ke­kal dalam ingatan bekas Pegawai Ope­rasi Pa­sukan F, Cawangan Khas E3 (M) Bukit Aman, Abdul Kalam Suhaimi.

“Ada juga kes di Serendah, Selangor, habis satu kampung dibakar hanya kerana menentang komunis. Tanaman orang kampung ditebang dan kereta api pula dibom hingga terbabas daripada landasan, sekali gus menyekat pergerakan rakyat ketika itu.

“Kekejaman tanpa perikemanusiaan ini dilakukan oleh komunis, jadi buat apa kita hendak iktiraf perjuangan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abdul Kalam, sewaktu zaman komunis, hendak pergi ke Raub, Pahang dari Kuala Lumpur pun mengambil masa yang cukup lama disebabkan terlalu banyak sekatan jalan.

Pada waktu itu jelasnya, jangan bermimpilah nak makan durian, apatah lagi hendak berjalan-jalan hingga ke kawasan sempadan negara.

“Sebab itu, mereka yang melalui zaman komunis pasti tidak akan menyokong mereka kerana kekejaman yang dilakukan,” jelasnya.

Tidak berperikemanusiaan ( KES 3 )

HARBANS SINGH
HARBANS SINGH

PUTRAJAYA 31 Julai – Pengganas komunis pimpinan Chin Peng disifatkan sebagai sebuah pasukan yang sa­ngat ganas se­­hingga sanggup menyeksa serta membunuh orang tanpa berperikemanusiaan.

Bekas pegawai tentera yang terlibat dalam Operasi Iblis pada tahun 1971, Lef­tenan Kolonel (B) Harbans Singh berkata, terdapat banyak perwira-perwira negara yang diperlakukan dengan kejam oleh pengganas komunis.

Sehubungan itu katanya, sebarang cadangan untuk memasukkan fakta pergerakan pengganas-pengganas tersebut ke dalam buku teks Sejarah perlu ditolak sama sekali oleh semua pihak.

“Mereka sangat ganas…. Kalau anda tengok, selepas peristiwa melibatkan Operasi Iblis ini, ada satu peristiwa di Gubir, Kedah di mana mereka membuat serang hendap dan membunuh pegawai dengan mela­kukan bermacam-macam keganasan.

“Mereka memotong (disfigured) muka­nya dan memotong buah zakar mereka. Jadi bagaimana kita hendak iktiraf perge­rakan komunis? K­a­lau mereka fikir untuk negara, takkanlah mereka buat begitu?” katanya.

Menurutnya, beliau tidak boleh me­nerima langsung sebarang cadangan untuk mengiktiraf pengganas komunis kerana terdapat banyak anggota tentera telah maut dan cacat akibat kekejaman pengganas-pengganas terbabit.

“Saya selama 27 tahun berkhidmat sebagai renjer. Saya keluar masuk hutan, saya pun tidak tengok anak saya membesar. Semua ini demi kedaulatan negara dan menentang komunis. Ada dalam satu tahun sembilan bulan saya masuk hutan, justeru, susah hendak terima komunis sebagai perwira,” katanya. – UTUSAN ONLINE