Liverpool garang

 

LONDON- Liverpool memenangi pertembungan dua musuh berjiran, apabila jaringan Andy Carroll dan Luis Suarez membantu mereka menundukkan 10 pemain Everton 2-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris yang berlangsung agak tegang di Goodison Park, semalam.

Drama di antara dua musuh Merseyside itu bermula seawal dari babak pertama, apabila pengadil, Martin Atkinson melayangkan kad merah kepada pertahanan Everton, Jack Rodwell kerana melakukan terjahan keras ke atas Suarez pada minit ke-23.

Suarez terbaring di atas padang selepas insiden tersebut, namun ulang tayang televisyen menunjukkan Rodwell sebenarnya tidak menendang kaki pemain itu. Rodwell merupakan pemain ke-20 yang dibuang padang dalam perlawanan melibatkan Liverpool dan Everton, malah yang ke-11 daripada 14 pertemuan terakhir mereka.

Nasib Everton bertambah buruk apabila pengadil kemudian menghadiahkan penalti kepada Liverpool pada minit ke-44 selepas Phil Jagielka menjatuhkan Suarez dari belakang, namun kecekapan penjaga gol, Tim Howard berjaya menepis sepakan rendah yang diambil oleh Dirk Kuyt.

Bagaimanapun sebaik separuh masa kedua bermula, Reds bertindak garang dengan mengatur asakan. Pada minit ke-71, Carroll memecah kebuntuan apabila menyambut hantaran Jose Enrique untuk gol pembukaan pasukan pelawat.

Suarez memastikan Liverpool mengutip kemenangan liga kedua berturut-turut dan melonjak ke tangga keempat Liga Perdana ketika permainan berbaki lapan minit selepas benteng pertahanan Everton yang kucar kacir memberi ruang kepada penyerang Uruguay itu untuk menghukum mereka.

Bagi Carroll, ini adalah jaringan liga pertamanya musim ini dan yang ketiga sejak menyertai Liverpool dari Newcastle, Januari lalu, persembahan yang mampu mengembalikan semula keyakinan pengurus, Kenny Dalglish untuk menurunkannya dalam kesebelasan pasukan pada perlawanan utama.

Reds juga menurunkan ketua pasukan, Steven Gerrard sebagai pemain gantian pada babak kedua semalam.

Dalglish kemudian mengakui, kad merah yang dilayangkan ke atas Rodwell pada awal saingan memberi kelebihan kepada Liverpool. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.