Sistem Pendidikan Negara Beri Peluang Kepada Semua Golongan Di Malaysia – Najib

PEKAN, 1 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem pendidikan negara memberi peluang kepada semua golongan tanpa sebarang diskriminasi untuk berjaya.

Beliau berkata sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya lebih baik berbanding negara-negara maju tertentu yang memberi setiap ruang dan peluang kepada semua pihak untuk berjaya.

“Apa yang penting ialah kita dedahkan pelajar dalam satu sistem, mempunyai guru yang komited, dorongan ibu bapa, maka mereka (para pelajar) akan menjadi berjaya.

“Melalui sistem pendidikan kita, kita memberi laluan untuk setiap orang untuk menjadi orang yang berjaya. Kejayaan dalam pendidikan dalam mengubah nasib hidup ini hanya menerusi satu generasi sahaja, ada yang berjaya sebagai pemimpin, tokoh korporat dan sebagainya,” katanya.

Berucap pada majlis Jalinan Bestari Transformasi Pendidikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan di sini Sabtu, beliau berkata terdapat negara maju tertentu misalnya, golongan yang miskin atau bukan bangsawan atau yang hidup di kawasan setinggan, ternyata tidak dapat mengubah nasib untuk menjadi lebih berjaya berbanding ibu bapa mereka.

“Tapi di Malaysia, kita mempunyai peluang untuk ubah kehidupan menerusi pendidikan, kita telah menggubal sistem pendidikan yang tanpa mengira taraf sosial ekonomi, tapi jika ada keinginan, kita akan berjaya,” katanya.

Perdana Menteri berkata SMK Seri Pekan misalnya, bukanlah sebuah sekolah berasrama penuh, tetapi telah diberi pelbagai kemudahan yang hampir berstatus sebuah sekolah berasrama penuh.

“Pelajar yang mendapat keputusan ‘C’ dalam matematik dan sains (dalam UPSR), sebenarnya juga masih berpeluang untuk berjaya jika didedahkan dengan sistem pendidikan, guru yang komited dan dorongan ibu bapa (dalam peperiksaan menengah),” katanya.

Beliau berkata SMK Seri Pekan telah membuktikan sekalipun bukan berstatus berasrama penuh, tetapi berjaya mendapat status sebagai sebuah sekolah kluster kecemerlangan di Pahang.

“Saya berharap sekolah ini kelak mencapai sebagai sebuah sekolah berprestasi tinggi,” katanya yang turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi pasukan pancaragam sekolah berkenaan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.