Pengalaman Saya Dan Tunku Aziz Tak Sama – Dyana Sofya

PETALING JAYA: Calon DAP yang kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menyifatkan pengalaman beliau dan bekas naib presiden parti, Tunku Abdul Aziz Ibrahim adalah berbeza.

Berikutan itu, Dyana menganggap ramalan Tunku Abdul Aziz bahawa beliau akan meninggalkan parti itu tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi kerana beliau bermula sebagai ahli biasa ketika menyertai DAP.

Beliau juga menganggap DAP sebagai keluarga, bukan parti politik kerana kepemimpinannya menganggap tidak mustahil menjadi rakyat Malaysia sebenar tanpa dibelenggu sifat hikporit.

“Kita mungkin mempunyai perbezaan, tetapi tidak bermakna seseorang perlu meninggalkan keluarganya setiap kali berlakunya perbezaan pandangan.

“Saya mempunyai lebih banyak alasan yang boleh ‘disabitkan’ untuk keluar dari parti berikutan kegagalan dipilih atau dilantik sebagai wakil rakyat.

“Mungkin sekiranya Tunku Aziz menghabiskan lebih banyak masa bersama kami di peringkat akar umbi, beliau turut bersetuju dengan saya,” katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Dyana berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tunku Aziz yang meramalkan beliau akan meninggalkan parti tersebut berdasarkan pengalamannya sendiri ketika bersama DAP.

Peguam berusia 27 tahun itu berkata, pembabitannya dalam parti politik pembangkang itu juga tanpa didorong hasrat untuk dilantik dalam mana-mana jawatan.

“Saya percaya perjuangan DAP ada risiko dan kesannya walaupun prinsipnya untuk memperjuangan semua rakyat adalah tepat,” katanya.

Bagaimanapun katanya, diharapkan tiada pihak menyalahanggap tentang dirinya kerana beliau berbangga menjadi orang Melayu.

“Saya berbangga dengan keturunan dan warisan saya. Bagaimanapun, saya tidak percaya dalam menyalahgunakannya dengan mempersendakan rakyat Malaysia yang lain,” katanya.

Selain itu, beliau mendakwa slogan ‘1Malaysia’ yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) sepatutnya mengalakkan semangat rakyat Malaysia bukan menjurus kepada kepentingan politik.

Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.