Anak gadis rakyat Malaysia finalis ratu cantik NZ

PETALING JAYA: Siapa sangka, gadis berhijab berdarah campuran Malaysia-Indonesia mencatat sejarah apabila tersenarai antara 20 finalis Ratu Universe New Zealand 2018.

Menerusi Instagram, Nurul Shamsul berkata, sebagai wanita bertudung, beliau adalah yang pertama di negara itu untuk sampai ke peringkat akhir, malahan juga perintis di tahap global.

“Peluang seumpama ini diharap dapat memecah sebarang halangan dan stereotaip, malahan ia juga diharap dapat mendefinasikan semula erti kecantikan sebenar,” katanya.

Beberapa posting lain, Nurul berkata, sebagai umat Islam, dia masih mengutamakan kepercayaan walaupun menyertai pertandingan ratu cantik itu.

“Saya berdoa supaya peluang ini sesuatu yang baik untuk diri saya dan agama. Saya mohon ia berlaku, tetapi jika tidak saya minta Tuhan menjauhkan diri saya daripadanya,” katanya.

Mengenai latar belakangnya, Nurul berkata, ibunya berasal dari Indonesia, manakala bapanya rakyat Malaysia.

Katanya, ketika ini dia masih menuntut di Universiti Waikato dalam bidang psikologi dengan minor dalam dasar sosial.

“Saya ingin sekali membantu masyarakat untuk berjaya dan memberi ruang kepada individu bagi menjamin masa depan,” katanya.

Nurul bagaimanapun bukan wanita Islam pertama yang berhijab yang menyertai pertandingan sedemikian.

Sebelum ini, warga Somali-British, Muna Jamal dan Somali-Amerika, Halima Aden juga menyertai Ratu Universe Great Britain dan Ratu Cantik Minnesota Amerika Syarikat.

Peringkat akhir Ratu Universe New Zealand 2018 akan diadakan pada 4 Ogos ini.

Setakat ini, cubaan untuk menghubungi Nurul masih belum berhasil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.