‘Cinta Kami Bukan Lakonan’, ‘Saya Tidak Meminati Kaum Sejenis’ – Zara Zya

KUALA LUMPUR: Aktres, Zara Zya, menepis dakwaan konon percintaan antara dirinya dengan Hafreez Adam sekadar ‘lakonan’ bagi mempromosikan drama dibintangi mereka, Monalisa.

Zara, 33, turut menafikan tanggapan keakraban mereka adalah bagi menutup kontroversi mengatakan dirinya meminati ‘kaum sejenis’ apabila rapat dengan pengurus sendiri.

“Sebelum ini, saya boleh dikatakan bersih daripada gosip cinta. Jadi, apabila saya dan Hafreez berkawan rapat, mungkin keadaan itulah yang menyebabkan timbulnya pelbagai kontroversi.

“Bagi saya, pada usia 33 tahun, ia bukan lagi masa untuk dibazirkan begitu saja. Kekangan kerja pula antara punca mengapa saya sukar untuk mengenali lelaki dengan lebih dekat, malah kadang kala mereka sendiri yang menjarakkan diri kerana kesibukan saya.

“Mengenai pengurus pula, orang membuat andaian bukan-bukan kerana dia sering dilihat bersama-sama saya. Lazimnya, memanglah dia selalu ada di sisi kerana dialah yang menguruskan perjalanan kerjaya saya. Biarlah apa yang orang di luar sana hendak cakap kerana kita tidak dapat menutup mulut mereka,” kata Zara.

Kata pelakon yang turut mencuba bakat sebagai penyanyi ini, tiada apa yang diminta olehnya sekarang selain doa orang ramai buat hubungannya dengan Hafreez.

“Kami sudah agak lama berkawan, cuma masing-masing menjadi semakin rapat apabila berlakon bersama dalam drama Monalisa. Apatah lagi drama ini sepanjang 80 episod, jadi ia membuatkan kami lebih akrab dan semakin mengenali antara satu sama lain.

“Begitupun, rasanya dialah yang lebih layak untuk membuat kenyataan mengenai hala tuju hubungan kami. Tidak manis untuk saya bercakap banyak mengenai perkara itu. Cuma, apa yang boleh saya katakan, doakan yang terbaik buat kami berdua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zara baru-baru ini melancarkan single sulung berjudul Tiada Dendam karya Lieynur Liey dan Fauzi Aisunam manakala liriknya nukilan Iman Imran.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.