‘Muzium Mayat’: Mumia Wanita Di Laluan Sutera

MAYAT wanita yang dikenali sebagai ‘Loulan beauty’ dipamerkan di Muzium Xinjiang. – Foto Halina Mohd Noor

MEMASUKI ruang “manusia dari zaman lampau” di Muzium Xinjiang, China membuatkan bulu roma tegak serta-merta.

Penulis dimaklumkan di sini ditempatkan beberapa mayat yang masih elok termasuk mayat seorang wanita yang terkenal kerana kejelitaannya.

Kesemua mayat ini masih berada dalam keadaan baik kerana keadaan cuaca yang kering dan tanah yang mengandungi banyak garam secara langsung menghalang pembiakan bakteria, menghasilkan ‘mumia’ semula jadi.

Mayat wanita berusia kira kira 4,000 tahun dikenali sebagai ‘Loulan beauty’ dari tebing Sungai Tiebanhe, terserlah kejelitaannya dengan hidung yang mancung, bulu mata lebat dan rambut panjang berwarna perang yang membuktikan kehadiran bangsa Eropah di Xinjiang.

Wanita berkenaan dipercayai meninggal dunia ketika berusia 45 tahun dan berpakaian lengkap ketika digali.

Mayat berkenaan yang terdiri daripada wanita, bayi dan lelaki, digali dari perkuburan sekitar Turpan, Xinjiang yang juga sebahagian laluan sutera.

Disimpan dalam keranda kaca

Selain itu, mayat seorang lelaki yang berdada ‘burung’ dipercayai berjawatan jeneral berasal dari Baishui, Nanyang di Wilayah Henan dikenali sebagai Zhang Xiong.

Kegagahannya digambarkan dengan patung beliau sedang menaiki kuda, lengkap dengan pakaian seorang askar pada zaman berkenaan di samping keranda kaca yang menempatkan mayatnya.

Xinjiang adalah hub laluan sutera kuno dan pelbagai budaya bergabung dari Timur dan Barat yang berhubung antara satu sama lain.

Arkeologis di Xinjiang mendapati terdapat kawasan perkuburan dari zaman purba meninggalkan kesan sejarah yang panjang.

Sehingga ke hari ini, Xinjiang memiliki paling banyak mayat yang dikeringkan secara semula jadi di dunia.

ANTARA mumia yang dipamerkan di Muzium Xinjiang. – Foto Halina Mohd Noor

Muzium yang memaparkan sejarah kedatangan pelbagai etnik ke wilayah ini boleh dikunjungi secara percuma dan ditutup pada, Isnin saja.

Selain pameran mayat, muzium ini juga menampilkan pelbagai tamadun dan etnik menerusi peralatan yang ditemui di sekitar Xinjiang.

Sejarah laluan sutera yang berusia lebih 1,000 tahun terus dibongkar menerusi persembahan teater di Xinjiang Grand Theater yang bangunannya berbentuk seakan-akan kubah masjid atau bunga teratai berwarna emas dengan seni bina bahagian dalam yang indah.

Bertemakan ‘Revisiting the western Regions’, memberikan gambaran jelas warisan budaya pelbagai etnik Xinjiang dan kisah pengembaraan pedagang yang masuk ke wilayah itu menerusi laluan sutera.

ANTARA mumia yang dipamerkan di Muzium Xinjiang. – Foto Halina Mohd Noor

 

Terpesona lihat persembahan budaya

Kisah dipersembahkan dengan teknik pementasan yang kreatif dan unik, nyanyian dan tarian memukau penonton menggunakan skrin LED bersaiz 2,000 meter persegi, imej 3D dan digital.

Adakalanya pentas bertukar daripada padang pasir ke istana, hutan rimba, gua jed dan kolam yang membawa penonton berada dalam alam 1,000 tahun lampau.

Malah, adegan berlawan pedang antara perompak dan pedagang bersama kuda dan unta dilakukan di kawasan tempat duduk penonton.

Penonton turut terpesona dengan persembahan pari-pari yang melayang turun dari atas pentas, bahagian siling yang turut bertukar corak dan warna.

Kisah laluan sutera dan kemasukan pelbagai bangsa akan sentiasa terpahat di hati, bermula daripada laluan sutera kuno hingga padang pasir Gobi sebelum bertukar daripada oasis kepada bandar yang maju.-BH.

info

1. Muzium Xinjiang:

– Terletak di 581 Xibei Rd, Shayibake Qu, Wulumuqi Shi, Xinjiang.

– Bayaran: percuma

– Waktu operasi: Selasa hingga Ahad

– Masa : 10 pagi hingga 6 petang.

– Dibina pada 1953

– Keluasan: 7,800 meter persegi.

– Bangunan bercirikan gaya Uyghur.

– Lebih 50,000 koleksi gaya hidup etnik zaman lampau.

2. Xinjiang Grand Theater

– Terletak di bandar Changji

– Dibuka pada Ogos 2015

– Harga tiket RM236 atau RMB380 yuan ke atas

– Waktu pertunjukan: 2 hari sekali ( 8.30 malam)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.