Moyes berang Rodwell kena kad merah

LIVERPOOL – Pengurus Everton, David Moyes tidak dapat menahan marah ekoran insiden kad merah Jack Rodwell yang memberi laluan kepada musuh berjiran, Liverpool mencatat kemenangan 2-0 dalam pertembungan Merseyside ke-216 di Goodison Park, kelmarin.

Everton terpaksa bermain 10 orang lebih sejam selepas pemain tengah bawah 21 tahun England, Rodwell dilayangkan kad merah oleh pengadil, Martin Atkinson kerana melakukan terjahan keras ke atas Luis Suarez.

Tindakan itu dianggap terlalu keras selepas ulang tayang televisyen menunjukkan terjahan Rodwell tidaklah terlalu kuat, malah kakinya sudah mengenai bola terlebih dulu.

Pasukan pelawat memanfaatkan kelebihan itu untuk mencatat kemenangan keempat daripada enam perlawanan Liga Perdana Inggeris hasil jaringan dua penyerangnya, Andy Caroll dan Suarez. Rodwell menjadi pemain ke-19 dibuang padang dalam 27 pertemuan terakhir antara kedua-dua kelab bermusuh itu.

“Saya sudah cukup kecewa jika pengadil memberikan sepakan percuma untuk itu. Sekalipun jika pengadil beri kad kuning, kamu tetap bertanya, ‘kenapa ia diberikan kad, untuk kesalahan apa?,” kata Moyes selepas melihat pasukannya kalah dalam dua perlawanan liga berturut-turut.

Begitupun Moyes mengakui, bukan pengadil yang menyebabkan kekalahan pasukannya tetapi kesilapan benteng pertahanan.

“Sudahlah sukar menentang Liverpool dengan 11 pemain, akhirnya ia menjadi lebih rumit. Ketika 11 lawan 11, kami masih beraksi agak bagus,” ujarnya.

Sementara itu, pengurus Liverpool, Kenny Dalglish enggan berdebat mengenai kad merah Rodwell, tetapi dia amat gembira dengan cara pasukannya memanfaatkan kelebihan itu.

“Saya tidak melihat insiden itu dan tidak pasti sama ada dia layak dikenakan kad merah atau tidak. Sebaik mereka dikurangkan kepada 10 pemain, kami amat profesional, meneruskan apa yang sepatutnya dilakukan.

“Ada kalanya ia sukar untuk menentang 10 pemain. Kamu tahu apa yang bakal dihadapi dari Everton. Mereka masih habis-habisan mempertahankan kedudukan 0-0,” katanya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.