Perkenal lebih banyak pendekatan lindungi pembeli

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Pemaju perumahan, Allstones Group Asia Sdn. Bhd. mahu kerajaan memperkenalkan lebih banyak pendekatan bagi melindungi pembeli hartanah yang kini berhadapan dengan projek-projek perumahan terbengkalai.

”Cadangan penggubalan Akta Pembangunan Perumahan 1966 adalah baik untuk pembeli baharu tetapi pada masa sama nasib pembeli hartanah yang sedang terbengkalai juga perlu diberi perhatian,” kata Pengerusi Allstones Group, K.H Sim.

Berikutan itu, beliau menaruh harapan agar kerajaan turut memberi pertimbangan insentif-insentif bagi projek-projek terbengkalai untuk mengurangkan tekanan kepada pembeli yang menanggung hutang pada Bajet 2012.

”Kerajaan sewajarnya memberi pertimbangan kepada pemulihan projek-projek terbengkalai bagi mengurangkan beban kepada pembeli malang,” tambah beliau.

Ia termasuk melaksana kuota mandatori bagi pembiayaan projek oleh bank-bank tempatan dan kerajaan pula mewujudkan dana khusus untuk pembiayaan projek kepada syarikat pemaju baharu pada kadar yang istimewa dengan elemen perkongsian keuntungan bersama.

Menurut Sim, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan insentif-insentif cukai kepada perunding dan pihak-pihak yang terlibat dalam membangunkan semula projek-projek terbengkalai.

Malah, katanya, kerajaan sewajarnya mewujudkan akta yang sama seperti yang dilakukan kepada Akta Danaharta untuk membolehkan kerajaan mengambil alih projek-projek bermasalah.

Sebagai tambahan, sebuah pusat sehenti perlu diwujudkan untuk menangani isu-isu perancangan dan pembangunan, mempercepatkan kelulusan dan lesen daripada pihak-pihak berkuasa terlibat, katanya.

”Cadangan ini dibuat supaya pada akhirnya objektif untuk membantu pembeli yang terperangkap dalam masalah ini boleh diselesaikan dengan lebih cepat.

”Ia penting kerana pembeli-pembeli ini telah kehilangan simpanan dan harapan untuk memiliki kediaman impian mereka,” ujarnya.

Sumber-utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.