Seludup Rokok: Kastam Pertimbang Pindaan Akta Bolehkan Hukuman Penjara Mandatori Dikenakan

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Kastam 1967 mungkin akan dipertimbangkan bagi mengenakan hukuman penjara mandatori atas kesalahan menyeludup dan penjualan rokok seludup.

Hukuman yang lebih berat itu, adalah antara cadangan Kastam Diraja Malaysia bagi menangani aktiviti penyeludupan rokok yang dilapor menyebabkan negara kerugian kira-kira RM1.9 bilion cukai, tahun lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata turut dicadangkan ialah pelaksanaan Program Transformasi Penguatkuasaan (PTP) iaitu rondaan mesra, pejabat kastam bergerak dan Sahabat Kastam bertujuan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan membanteras barang seludup.

“Turut akan diwujudkan ialah sistem pengurusan risiko komprehensif – National Targeting Canter (NTC) – yang akan dimasukkan ke dalam sistem U-Customs yang sedang dibangunkan oleh jabatan,” menurutnya dalam kenyataan di sini Rabu.

Baru-baru ini dilaporkan Malaysia dianggar kehilangan hasil cukai sebanyak RM1.9 bilion tahun lepas akibat penggunaan rokok tidak sah dan kegiatan penyeludupan.

Anggaran itu terkandung dalam laporan yang disediakan bersama-sama International Tax and Investment Center (ITIC) dan Oxford Economics yang dikeluarkan dua hari lepas.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.