Industri penerbangan kurangkan unjuran keuntungan 2018

SYDNEY: Syarikat penerbangan global mengurangkan unjuran keuntungan industri bagi 2018, menyebut kenaikan harga bahan api dan kos buruh.

Ia juga memberi ingatan bahawa kadar faedah lebih tinggi dan ketegangan geopolitik akan menambah kepada risiko operasi.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang mewakili kira-kira 280 syarikat penerbangan, berkata industri penerbangan dijangka mencatat keuntungan AS$33.8 bilion tahun ini, 12 peratus di bawah unjuran AS$38.4 bilion.

Kadar hasil penumpang, proksi bagi tambang penumpang, dijangka meningkat 3.2 peratus tahun ini, dalam keuntungan tahunan pertama sejak 2011, dipacu pertumbuhan permintaan yang disokong pengukuhan ekonomi tetapi dibayangi peningkatan risiko dasar perlindungan, kata IATA.

Syarikat penerbangan meraih rekod AS$38 bilion pada 2017, tetapi angka itu terganggu oleh perkara perakaunan khusus seperti kredit cukai sekali saja yang melonjakkan keuntungan tahunan, katanya.

Harga minyak dijangka didagangkan pada purata AS$70 satu tong tahun ini, naik daripada AS$54.90 satu tong tahun lalu dan jangkaan sebelum ini pada AS$60 satu tong, kata IATA.

Keuntungan syarikat penerbangan mencukupi untuk menanggung kos modal tinggi industri bagi tahun keempat, membantu menarik pelabur bagi pembelian pesawat baharu dan infrastruktur baharu.

Bagaimanapun, IATA mengingatkan syarikat penerbangan masih beroperasi dalam persekitaran sukar berbanding industri lain.

Ketua Pengarahnya, Alexandre de Juniac, berkata unjuran keuntungan tahun ini mewakili 4.1 peratus jualan sekitar AS$750 bilion.

“Empat peratus bukan angka yang besar. Ia masih lagi industri yang rapuh. Keupayaan kami untuk bertahan kejutan besar adalah terhad,” katanya kepada Reuters. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.