Melania tidak hadir G7, Singapura

WASHINGTON: Wanita pertama Amerika Syarikat, Melania Trump tidak akan menghadiri Sidang Kemuncak G7 di Quebec dan tidak merancang untuk menghadiri sidang bersama Korea Utara di Singapura, kata Rumah Putih.

Melania menghadiri mesyuarat G7 di Itali tahun lalu dan wanita pertama itu tidak kelihatan di khalayak sejak 10 Mei lalu selepas menjalani pembedahan pada 14 Mei untuk merawat masalah buah pinggang yang dihadapinya. Beliau dibenarkan keluar dari hospital pada 19 Mei.

“Beliau tidak akan menghadiri G7 dan tidak ada perancangan untuk ke Singapura ketika ini,” kata jurucakap, Stephanie Grisham menerusi e-mel, semalam.

Pada 30 Mei lalu, Melania Trump menulis di Twitter sebagai maklum balas terhadap kehilangan beliau di khalayak ramai.

Saya lihat media bekerja lebih masa hingga sanggup berteka-teki di mana saya dan apa yang saya lakukan. Yakinlah, Saya di sini, @WhiteHouse bersama keluarga, berasa yakin dan bekerja keras bagi pihak kanak-kanak dan seluruh rakyat Amerika” tulisnya di Twitter.

Wartawan CNBC menulis di Twitter, beliau melihat wanita pertama berada di Rumah Putih pada 29 Mei lalu bersama pembantunya. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.