Berdasarkan pandangan yang dikongsi oleh seorang individu dan seterusnya tular dalam laman Facebook, konflik tersebut bakal timbul memandangkan Tommy merupakan bekas peguam mewakili Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kes rasuah melibatkan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Menurut individu terbabit, bukan kelayakan serta pengalaman Tommy yang dipersoalkan tetapi yang dipertikaikan adalah peranan dan penglibatan beliau dalam kes tersebut dengan mengambil kira hubung kait kes itu dengan Pejabat Peguam Negara selepas Guan Eng memohon representasi untuk menggugurkan pertuduhan ke atasnya.

Berikut merupakan kenyata­an penuh tersebut:

Sebuah portal berita melaporkan semalam bahawa kerajaan telah mencadangkan Tommy, seorang peguam berpengalaman untuk menjadi Peguam Negara.

Jika laporan ini benar, maka kami tidak bersetuju dengan cadangan tersebut atas sebab-sebab berikut:

1. Tommy merupakan bekas peguam yang mewakili Guan Eng, Menteri Kewangan dalam kes isu banglo yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apabila pihak Jabatan Peguam Negara memfailkan permohonan menghina mahkamah ke atas Guan Eng, Thomas telah bertindak bagi pihaknya. Baca:

https://www.malaymail.com/s/1231201/guan-eng-to-set-a­side-committal-proceeding-initiated-by-ag

2. Kes perbicaraan Guan Eng masih belum selesai dan masih berjalan. Pihak pembelaan te­lah memaklumkan kepada mah­kamah bahawa satu representasi untuk menggugurkan pertuduhan ke atas Guan Eng akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat. Baca:

https://www.malaymail.com/s/1633123/guan-eng-to-apply-for-ag-to-drop-corruption-case

3. Jika Tommy dilantik menjadi Peguam Negara, dan menerima permohonan representasi daripada Guan Eng, ia akan terjumlah kepada ‘embarrassment’ dan kon­flik kepentingan kepada Tommy kerana beliau perlu menimbangkan untuk menarik balik kes terhadap bekas anak guamnya sendiri.

4. Jika Tommy menolak representasi tersebut dan meneruskan tindakan mendakwa Guan Eng, ia juga akan menimbulkan kon­flik kerana beliau perlu mendakwa bekas anak guamnya sendiri. Either way, beliau akan berada dalam keadaan tidak selesa dan ini boleh mencemar dan mempengaruhi tindakannya sebagai seorang Peguam Negara kelak.

5. Hubungan peguam-anak guam di antara Tommy dan Guan Eng juga tidak terbatas kepada kes banglo SPRM sahaja malah beliau juga merupakan peguam kepada kerajaan negeri Pulau Pinang apabila dilantik oleh Guan Eng pada tahun 2013. Baca:

6. Kami tidak mempersoalkan tentang kelayakan dan pengalaman yang dimiliki oleh Tommy namun peranan dan penglibatan Tommy dan memandangkan situasi kes Guan Eng yang masih belum selesai serta mengambil kira hubung kait kes ini dengan pejabat Peguam Negara, adalah lebih elok pelantikan Tommy ditangguhkan sehingga isu ini diselesaikan dahulu. – Utusan Online