DR. ZAKARIA ABDUL RASHID
DR. ZAKARIA ABDUL RASHID

Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakaria Abdul Rashid berkata, hanya Kementerian Kewangan yang mengetahui mengenai hutang tersebut sama ada di bawah kerajaan terdahulu atau pun PH kerana data-data yang dikeluarkan adalah data rasmi.

Katanya, jika berdasarkan definisi hutang terdahulu adalah 50.8 peratus tetapi dengan mengambil kira definisi yang baru iaitu 80.3 peratus berban­ding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ia melebihi paras 55 peratus dan keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kemam­puan kerajaan membayar hutang.

“Dari segi pasaran saham dan bon pula, tidak ada apa perlu dibimbangkan kerana ia hanya bersifat jangka pendek. Keba­nyakan pelabur yang lari adalah pelabur ekuiti yang berjangka pendek. Namun, apa yang perlu kita bimbangkan ialah pelabur yang membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang merupakan pelabur jangka panjang.

“Jika struktur ekonomi rapuh, memang pelabur akan lari tetapi sentimen ini hanya sementara. Bagaimanapun, kerajaan perlu tangani dengan sebaik mungkin. Kita juga berharap dalam tempoh 100 hari ini PH dapat menyelesaikan beberapa perkara sebelum data-data ekonomi dapat dikeluarkan terutama untuk prospek perkembangan ekonomi tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 24 Mei lalu, Menteri Kewangan mendedahkan hutang negara mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding KDNK setakat 31 Disember 2017. Daripada jumlah itu, RM686.8 bilion merupakan hutang Kerajaan Persekutuan bersamaan 50.8 peratus daripada KDNK.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Jaminan Kerajaan dan Tanggungan Kerjasama Awam Swasta (PPP) bukan satu bentuk hutang dengan menyifatkan Jaminan Kerajaan tidak pernah dirujuk sebagai ukuran hutang kerajaan, termasuk ketika era Tun Dr. Mahathir memerintah sebelum ini.

Minggu lalu, turut menyaksikan pasaran saham berada dalam keadaan tidak menentu apabila Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu, menyusut 56.56 mata kepada 1,719.28 disebabkan ketidakpastian dalam dasar fiskal kerajaan baharu dan juga prestasi pasaran serantau.

Keyakinan

Bagaimanapun, pada Jumaat, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 15.76 mata untuk ditutup kepada 1,756.38, apabila para pelabur mula memperlihatkan keyakinan dagangan selepas kerajaan mengumumkan langkah-langkah ekonominya.

Sementara itu, penganalisis pasaran saham, Nazarry Rosli berkata, sekiranya pasaran meneruskan kenaikan pada minggu depan, indeks dijangka menguji paras rintangan terdekat iaitu pada 1,775 mata dan jika kenaikan berterusan, paras rintangan seterusnya berada pada kedudukan 1,800 mata.

Katanya, sebaliknya jika berlaku tekanan jualan dan kejatuhan kepada indeks, paras sokongan terdekat adalah sekitar 1,720 mata dan paras sokongan seterusnya adalah pada 1,7000 mata, iaitu paras sokongan psikologi.

“Secara dasarnya, pasaran masih dibelenggu dengan ketidaktentuan geopolitik dunia dan juga dasar-dasar terkini kerajaan baharu. Selain itu, dasar-dasar perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China masih juga terus dinilai oleh pasaran termasuk pergerakan harga minyak mentah dunia.

“Sentimen yang tidak menentu ini dijangka berterusan untuk jangka masa terdekat dan akan berterusan sehingga beberapa bulan lagi. Dalam masa sama, pasaran dijangka terus melalui fasa yang tidak menentu buat masa ini,” katanya.

NAZARRY ROSLI
NAZARRY ROSLI

Firma penyelidikan Maybank IB Research dalam nota kajiannya mengekalkan unjuran KDNK 2018 pada 5.3 peratus tetapi turut mengambil kira pelarasan daripada pertumbuhan yang dicatatkan pada suku pertama dan menjangkakan impak ekonomi menerusi janji 100 hari kerajaan PH.

“Perubahan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 Jun lalu dan pulangan harga subsidi bahan api sepatutnya memberi impak positif kepada perbelanjaan pengguna yang merangkumi 54 peratus kepada KDNK.

“Bagaimanapun, dengan me­nye­mak semula perbelanjaan kerajaan dan projek infrastruktur utama akan menjejaskan penggunaan awam dan pertumbuhan pelaburan yang menyumbang 38 peratus kepada KDNK, jadi kita akan membuat semakan unjuran pertumbuhan dari semasa ke sesama apabila mendapat dasar ekonomi yang jelas daripada PH,” katanya. – Utusan Online