Gugur kes Guan Eng tak masuk akal – Azalina

KUALA LUMPUR: Tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas menggugurkan kes pertuduhan rasuah membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata keputusan itu menggambarkan seolah-olah Peguam Negara lantikan kerajaan menyalahgunakan kuasa budi bicara serta memberi layanan istimewa dan pilih kasih kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Pada 26 Mac lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Rashid Daud dalam ucapan pembukaan di Mahkamah Tinggi Malaya, George Town menyatakan pihaknya akan membuktikan Guan Eng sebagai penjawat awam, membeli rumah daripada Phang Li Koon dengan harga yang diketahuinya di bawah nilai harga pasaran.

“Ketika pembelian ini dibuat, Guan Eng membenarkan permohonan syarikat Li Koon untuk mengubah status tanah pertanian kepada tanah perumahan.

“Justeru, bagaimana sekarang Jabatan Peguam Negara boleh menyatakan bahawa tiada apa-apa kes terhadap kedua-dua mereka dan menarik balik pertuduhan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini melepas dan membebaskan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta Li Koon yang juga ahli perniagaan, daripada dakwaan bersubahat.

Ia berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan, menzahirkan rasa terkejut dengan keputusan itu, selain menegaskan keputusan menarik balik kes berkenaan diputuskan Pejabat Peguam Negara.

Azalina yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ketua Unit Undang-Undang parti, berkata persepsi terhadap badan perundangan negara tercalar dengan keputusan itu dan kerajaan perlu mengambil tanggungjawab penuh kerana prinsip kedaulatan undang-undang semakin terhakis.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menggesa Tommy memberi penjelasan dan tidak bersembunyi di sebalik kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 145(3), atau meletak jawatan dengan segera supaya tidak terus menjejaskan kredibiliti Jabatan Peguam Negara.

“Peguam Negara perlu menjelaskan perkara ini kerana persepsi buruk yang ditimbulkan ini adalah sesuatu yang bahaya dan mengancam doktrin pengasingan kuasa di Malaysia dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem pentadbiran negara.

“Perkara ini yang saya bangkitkan beberapa kali di Parlimen sebelum ini supaya kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya diasingkan bagi mengelakkan campur tangan mana-mana pihak yang dikhuatiri akan terus berlaku dan menjadi lebih parah.

“Saya juga menggesa Majlis Peguam membuat satu mesyuarat tergempar dan menyatakan pendirian mereka dalam perkara ini,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.