600 pelajar cemerlang SPM terima geran 1MDB RM32 juta

BANGI 4 Okt. – Seramai 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 hari ini menerima Geran Akademik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah kira-kira RM32 juta bagi tempoh empat tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pemberian geran tersebut buat kali kedua pada tahun ini merupakan bantuan kewangan kepada pelajar yang cemerlang dalam SPM tahun lalu untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara di peringkat Ijazah Pertama.

Katanya mereka adalah daripada keluarga yang berpendapatan rendah yang terdiri daripada 300 pelajar Bumiputera, 150 pelajar Cina dan 150 pelajar India.

“Majlis ini adalah satu daripada beberapa perkara yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dalam usaha untuk mengurangkan bebanan dari segi kos kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran geran tersebut kepada pelajar berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk G. Palanivel dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.