KDNK: ICT jangka sumbang 20%

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) menyasarkan industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Presidennya, Shaifubahrim Saleh berkata, setakat ini, industri telah menyumbang sekitar sembilan peratus dalam KDNK dan dijangka meningkat kepada 10 peratus pada tahun depan.

‘’Kami optimis terhadap perkembangan ICT di negara ini dengan perkembangan yang banyak dilakukan di negara ini seperti pembangunan jalur lebar tanpa wayar dan lain-lain lagi,’’ kata beliau selepas menghadiri majlis pelancaran Bulan ICT Nasional (NIM) 2011 di sini hari ini.

Majlis itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof dan Pengerusi Pikom, Datuk Wei Chuan Beng.

Pikom kini mempunyai keahlian seramai 1,400 orang dengan 50 peratus berada di Lembah Klang.

Ketika ditanya sama ada Pikom merancang memperluaskan konsep usaha niaga di ICT Mall di CapSquare Centre, Kuala Lumpur, Chuan Beng menambah, pihaknya mempunyai perancangan untuk memperluaskan konsep itu ke seluruh negara.

Namun, setakat ini, kata Chuan Beng, Pikom yang mengurus dan menyediakan kemudahan ICT Mall kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) ICT dengan memberi tumpuan kepada Lembah Klang terlebih dahulu.

Projek Pikom ICT Mall di Lembah Klang itu adalah perintis kepada projek pembangunan PKS ICT dan Pikom akan melihat sejauh mana kejayaannya sebelum memperluaskan ke negeri-negeri lain, ujar beliau.

Pikom ICT Mall di Gedung runcit CapSquare Centre dimiliki oleh Capital Square Sdn Bhd (CapSquare), unit Bandar Raya Development Bhd. (BRDB).

PIKOM ICT Mall setinggi empat tingkat dibuka pada 15 September lalu dengan menempatkan 300 penyewa pada satu masa.

Sumber Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.