Pikom cadang menteri ICT

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) berharap kerajaan akan mewujudkan jawatan menteri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ketika pembentangan Belanjawan 2012 Jumaat ini.

Pikom, sebelum ini telah membuat permohonan dan menghantar kertas kerja mengenai perkara itu sejak enam tahun lalu.

Presidennya, Shaifubahrim Saleh berkata, pada masa ini, tugas dan peranan tiga buah kementerian berkaitan dengan ICT adalah saling bertindih dan ia melambatkan proses kelulusan permohonan lesen perniagaan dan kelancaran pembangunan sektor itu.

Katanya, sekiranya hanya terdapat satu kementerian mengendalikan industri ICT, ia dijangka mempercepatkan pembangunan industri berkenaan.

”Perkara yang membimbangkan sekarang adalah Malaysia mungkin ketinggalan dalam pelaksanaan ICT dalam pelbagai sektor di negara ini berbanding negara-negara Asia Tenggara yang lain.

”Kami mahu seiring, malah lebih maju ke hadapan berbanding negara-negara maju yang lain,” katanya selepas menghadiri majlis pengumuman Bulan ICT Negara (NIM) 2011 di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis ialah Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof dan Pengerusi Pikom, Datuk Wei Chuan Beng.

NIM 2011 berlangsung sepanjang bulan ini.

Pelbagai program akan dijalankan seperti World Cyber Games, Larian Amal Pikom, Persidangan Pemimpin Pikom, Persidangan Pencarian Sumber Pintar 2011, Pesta PC Pikom dan pelbagai lagi.

Selain meminta dilantik seorang menteri, Pikom turut memohon syarikat milik kerajaan (GLC) lebih banyak menggunakan ICT dalam urusan pentadbiran masing-masing.

Malah, Pikom turut berharap kerajaan menyediakan insentif terbaik untuk industri termasuk mengurangkan cukai kepada pemain industri, jelas Shaifubahrim.

”ICT merupakan produk teknologi kegunaan semua rakyat dan ia meningkat setiap tahun,” ujarnya.

Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.