PM Thailand tutup sementara akaun Twitter

BANGKOK 3 Okt. – Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra hari ini mengumumkan akan berehat seketika daripada menggunakan Twitter selepas akaunnya digodam, semalam.

Menurut pihak berkuasa, mereka sedang mengesan penggodam yang menghantar lapan mesej mengkritik dan mempersendakan Perdana Menteri wanita pertama Thailand itu dalam akaun tersebut awal semalam.

Menurut Yingluck, serangan itu adalah satu ‘pelanggaran hak persendirian’ dan akaun Twitternya telah ditutup untuk sementara waktu.

Adik kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra itu diserang berhubung pelbagai subjek, termasuk tindak balas beliau ke atas banjir besar yang melanda negara ini, baru-baru ini serta beberapa dasar kerajaan.

Satu daripadanya mempersoalkan janji beliau untuk memberikan komputer riba kepada pelajar sekolah, sambil menyatakan tidak ada pengganti kepada pembaharuan pendidikan.

Satu lagi mesej menuduh Yingluck dan kerajaan pimpinan beliau mengamalkan kronisme.

Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Anudith Nakornthap berkata, penggodam pada mulanya berjaya mengakses e-mel Yingluck sebelum mengusai Twitternya dan mengubah kata laluan.

“Kami telah memperolehi maklumat mengenai penggodam itu. Pihak berkuasa akan mendapatkan lebih banyak bukti untuk melakukan penahanan.

“Buat masa, beliau (Yingluck) akan mengehadkan aktiviti laman web sosial kepada laman Facebook sahaja,” kata Anudith. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.