Shahidan yakin masih diperlukan

KANGAR – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim yakin kepimpinannya dalam badan sukan itu masih diperlukan walaupun terdapat pandangan negatif berkaitan pembabitan pemimpin politik dalam badan sukan.

Beliau tidak menghadapi masalah memimpin KOM, malah para anggota majlis kesatuan itu sentiasa memberi sokongan dan kerjasama terhadapnya, kata Shahidan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas KOM di sini, kelmarin.

Shahidan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden KOM, Karim Ibrahim bahawa pemimpin politik tidak seharusnya campur tangan mahupun terbabit menguruskan persatuan sukan di negara ini.

Beliau akan terus memberikan sumbangan kepada badan sukan itu selagi diperlukan.

Baru-baru ini, dalam satu temuramah dalam program Kerusi Panas terbitan Radio 24 Bernama, Karim dilaporkan berkata bahawa pemimpin politik tidak dapat memberi tumpuan dan komitmen sepenuhnya dalam pengurusan persatuan sukan kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab di pentas politik.

Beberapa anggota majlis KOM yang ditemui selepas mesyuarat itu berkata, mereka tetap memberi sokongan kepada Shahidan untuk terus menerajui badan sukan itu walaupun beliau adalah pemimpin politik.

Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Johor, S. Rajasegram yang juga anggota Majlis KOM berkata, beliau sentiasa memberi sokongan padu kepada Shahidan untuk menerajui badan sukan itu.

Katanya, walaupun Shahidan merupakan salah seorang pemimpin politik, namun sumbangannya dalam memajukan sukan negara adalah besar.

Seorang lagi anggota Majlis KOM, S O Appan yang juga Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Perak berkata mereka tidak pernah membangkitkan isu pemimpin politik tidak layak memimpin KAM.

Sementara itu, Karim yang turut hadir pada mesyuarat khas itu tidak memberi sebarang komen mengenai kenyataannya sebelum ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.