Nazim dedah terpaksa tolak 10 tawaran filem termasuk ‘Paskal’

PELAKON Nazim Othman mendedahkan dia turut menerima tawaran untuk berlakon dalam filem Paskal The Movie bersama aktor filem itu Hairul Azreen.

Namun, Nazim, 34, berkata, tawaran tersebut ditolak berikutan dia masih terikat dengan penggambaran drama 80 episod Monalisa ketika itu.

“Saya juga ditawarkan untuk berlakon filem Paskal tapi tidak dapat buat sebab ada pengambaran drama Monalisa.

“Penerbit ada minta sama ada saya boleh bahagikan jadual tapi memandangkan komitmen yang mereka minta terlalu banyak dan saya pula sedang dalam penggambaran drama Monalisa, tidak dapatlah saya terlibat.

“Tidak apalah saya masih sokong filem yang gempak itu,” ujarnya di Instagram.

 

Nazim sudah bersedia untuk berlakon filem.

Dalam pada itu, Nazim turut memberitahu dia telah menolak lebih 10 tawaran berlakon filem sepanjang tahun 2013 hingga 2015.

Pelakon Akulah Balqis itu berkata, sepanjang tempoh itu, dia masih belum bersedia untuk beraksi di layar lebar.

Bagaimanapun, Nazim berkata, dia kini berasa yakin dan bersedia untuk mencuba sekurang-kurangnya sebuah filem sepanjang bergelar pelakon.

“Sekarang saya sudah bersedia berikan saya skrip yang baik dan saya tidak kisah untuk berlakon secara percuma. Saya pernah beritahu perkara ini kepada pengarah dan penerbit sebelum ini, tapi nampaknya belum ada rezeki.

“Untuk sekali dalam hidup sekurang-kurangnya saya mahu berlakon untuk skrin yang besar.

“Saya mahu lakukan atas nama kepuasan,” ujarnya.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.