Biskut Raya Dari Tirai Besi

NOR Shazimi (tiga dari kanan) dan Koperal Maizatul Nazura Idris (tiga dari kiri) bersama banduan melakukan aktiviti Bengkel Bakeri di Penjara Kajang. – Foto Nurul Shafina Jemenon

KAJANG: Aroma wangi biskut yang sedang dibakar menusuk ke hidung tatkala melangkah masuk ke kawasan bengkel pastri, di Penjara Wanita Kajang.

Seramai 33 banduan yang memakai pakaian seragam penjara berwarna putih dan biru dengan apron hijau, putih dan merah tekun membuat biskut raya seperti sarang semut, emping jagung dan almond London.

Melihat kelibat Ketua Inspektor Penjara, Nor Shazimi Mohd Fauzi yang mengiringi penulis masuk ke dalam bengkel. Salah seorang banduan segera bangun untuk mengucapkan selamat pagi dan disahut oleh penghuni lain.

Penulis melihat beberapa balang diisi pelbagai jenis biskut tersusun di tepi dinding untuk dijual kepada orang ramai di galeri jualan penjara berkenaan.

Terdapat juga tempahan kuih raya daripada badan korporat yang setiap tahun menjadi pelanggan tetap mereka.

Nor Shazimi berkata, terdapat 12 jenis biskut disediakan di bengkel berkenaan dengan kira-kira 1, 000 balang sehari mampu disiapkan dan 3,000 balang keseluruhannya.

“Paling banyak tempahan biskut diterima adalah 5,000 balang tidak termasuk hamper raya yang turut disediakan dengan jumlah kira-kira 150,000 keping biskut.

“Semua banduan yang bekerja di sini perlu disuntik vaksin tifoid setiap tahun bagi memastikan mereka benar benar sihat,” katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Ketika ini seramai 1,200 banduan wanita di tempatkan di sini atas pelbagai kesalahan jenayah.

Banduan itu juga perlu ditapis dan ditemuramah sebelum diterima bekerja di bengkel berkenaan dan perlu menjalani latihan kemahiran dalam penyediaan pastri selama lapan bulan.

Gaji yang diterima berdasarkan tempoh banduan ditahan iaitu antara 30 sen bagi yang baharu sehingga 80 sen sehari bagi banduan lama.

Sebelum memulakan bengkel penghuni diberikan latihan kemahiran membuat biskut dengan kerjasama Institut Latihan Kemahiran Awam Malaysia (ILKA) dalam bidang pastri selama lapan bulan, bergantung kepada tempoh hukuman dijalani, sekiranya pendek, tempoh latihan dijalani juga dipendekkan dan sebaliknya.

Malah guru daripada ILKA turut ditempatkan di bengkel ini untuk memastikan biskut yang dihasilkan bukan saja enak tetapi berkualiti.

Pendapatan daripada hasil jualan kuih akan dimasukkan ke dalam tabung penjara sebagai dana untuk menjalankan aktiviti bengkel di situ termasuk bayaran gaji.

Nor Shazimi berkata, selain biskut, 18 lagi banduan diberi tugas menyiapkan 400 tempahan baju kurung, baju Melayu dan kanak-kanak yang berharga RM30 sehingga RM40 saja sepasang.

“Mereka juga turut menerima tempahan untuk sulaman manik tiga dimensi (3D) pada baju, langsir, sarung bantal dan kusyen.

“Kebanyakan pelanggan adalah penduduk sekitar dan pihak yang pernah datang melawat dan melihat sendiri hasil kerja tangan penghuni di bengkel ini,” katanya.-BH.

Info

*1,200 penghuni wanita

*Bengkel:

1. Membuat biskut raya

2. Menjahit baju kurung moden, tradisional, baju Melayu dewasa dan kanak-kanak.

3. Membuat kuih sejuk beku

Waktu bekerja: 8 pagi hingga 5 petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.