Hakim memihak kepada penjual kek ‘anti gay’

WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat kelmarin memihak kepada seorang peniaga yang menggunakan alasan berpegang kepada ajaran Kristian untuk menolak tempahan kek satu pasangan gay bagi perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, hakim tidak memberi ketetapan mengecualikan mana-mana orang daripada diberi pengecualian atas dasar agama daripada undang-undang anti-diskriminasi.

Dalam kes peniaga kek di Colorado itu, tujuh hakim menyokong tindakan Jack Phillips menolak tempahan pasangan gay terbabit, David Mullins and Charlie Craig, pada 2012, manakala dua lagi menentang.

Undang-undang negeri melarang mana-mana perniagaan daripada menolak khidmat atas sebab kaum, seks, status perkahwinan atau kecenderungan seksual.

Kes tempahan kes itu menjadi isu di Amerika antara penyokong hak gay dan kumpulan Kristian konservatif.

Peguam bela berkata, keputusan mahkamah itu menunjukkan pihak berkuasa mesti menghormati mereka yang memegang kepada ajaran agama.

Phillips memberi komen: “Sukar untuk mempercayai bahawa kerajaan menghukum saya kerana mengamalkan urus niaga mengikut kepercayaan saya mengenai perkahwinan. Itu sikap tidak bertoleransi.”

Pasangan itu ketika membuat kenyataan berkata, perjuangan mereka untuk menentang semua bentuk diskriminasi akan diteruskan berikutan keputusan mahkamah tidak memihak kepada mereka.

“Kami percaya bahawa di Amerika, mana-mana pihak yang menawarkan khidmat kepada orang ramai tidak boleh menolak permintaan hanya kerana identiti orang itu,” kata mereka. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.