Kes Jamal Yunos: Polis Ambil Tindakan Anggota Cuai

SHAH ALAM: Polis Selangor akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai dan anggota polis yang bertugas ketika ahli politik, Datuk Seri Jamal Yunos menghilangkan diri di Hospital Pakar Ampang Puteri, bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan menyeluruh mengenai perkara itu yang turut merangkumi aspek kecuaian.

“Kita tidak sesekali berkompromi dengan kesilapan seumpama itu dan tindakan akan diambil kepada mereka yang bertugas ketika itu.

“Dia (Jamal) sepatutnya melengkapkan proses pengurusan ikat jamin ke atasnya namun sebaliknya meninggalkan hospital dan dia tidak menyerah diri,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ketika ditanya berapa pegawai atau anggota yang dikenakan tindakan, kata Mazlan, perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.

Pada 25 Mei lalu, Jamal, 48, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri selepas menjalani rawatan sakit belakang.

Terdahulu, pada jam 10.45 pagi hari sama, Jamal didakwa ketika dirawat di hospital itu terhadap pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.

Peguam Jamal mendakwa beliau didapati hilang sejak jam 3 petang selepas kesnya didengar Majistret Raja Noor Dilla Raja Mahyaldin dan diberi jaminan sebanyak RM3,000.

Jamal kemudian mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang.

Namun, beliau sehingga kini masih gagal dikesan dan dipercayai melarikan diri ke negara jiran.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.