“Hampir enam tahun berkahwin kali ini saya beri sepenuh kepercayaan buat suami untuk memilih tema warna pakaian raya kami. Pilihan warna dia memang mengejutkan sebab tiada langsung warna lembut sebaliknya lebih kepada warna-warna lelaki.

“Antara pilihan Yusry untuk tahun ini adalah biru tua, hijau tua dan beberapa warna lagi. Selalunya kami memerlukan tiga pasang baju raya untuk raya pertama, kedua dan lagi satu bila pulang ke kampung,” kata Lisa.

Mengakui agak terkejar-kejar melakukan persiapan tahun ini, kata Lisa, jika tahun-tahun sebelum ini persiapan sudah dilakukan beberapa bulan sebelum, bagaimanapun kali ini berbeza.

Antara faktor yang membuatkan dia ‘terlupa’ untuk memberi perhatian kepada persiapan raya adalah kerana penglibatannya dalam konsert KRU yang diadakan di Istana Budaya baru-baru ini.

“Tidak ada persiapan langsung berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, malah saya juga tidak sempat menempah baju raya untuk tahun ini. Mujur Yusry mendapat tajaan untuk pakaian raya.

“Bagi saya pula, tahun ini hanya membeli secara dalam talian sahaja. Mujur banyak pilihan jadi mudah untuk disuaipadankan,” katanya.

Menjadi bulan yang dinanti-nantikan oleh Lisa sekeluarga, sepanjang Ramadan juga, kata Liza, dia memilih untuk tidak terlalu menyibukkan diri dengan urusan lain, sebaliknya memberi tumpuan kepada ibadah.

“Memang tahun-tahun sebelum ini juga pada Ramadan saya tidak mengambil sebarang tawaran seni. Sebab saya mahu memastikan bulan ini saya gunakan sebaik mungkin untuk beribadah,” katanya.

Yusry rasai ketiadaan Edry

Untuk sambutan Hari Raya ini, Yusry Abdul Halim akui, ketiadaan Edry yang kini menetap di United Kingdom pastinya dirasai keluarga mereka.

Namun mengambil positif keadaan itu, dia yakin dengan kehebatan teknologi masa kini, ketiadaan Edry dan keluarganya bukan lagi suatu masalah.

“Tahun ini, Edry sahaja yang tiada memandangkan dia sudah ke sana, anak-anaknya masih di sini buat ketika ini.

“Memang saya akui terasa dengan ketiadaan Edry. Selain itu, anak-anaknya juga akan berpindah ke sana, jadi tidak tahu bagaimana sambutan hari raya tahun hadapan. Tetapi kami masih boleh melawat mereka di sana,” katanya.

Tentang kerjasama dengan isterinya sebagai penolong pengarah, dia akui, Lisa seorang yang komited dengan kerjayanya.

“Kali pertama kami bekerjasama saya rasa selesa dan bila peluang datang lagi saya terus suarakan pandangan untuknya menjadi penolong saya.

“Soal kerja memang adakalanya dalam tekanan, tapi selalunya bila pulang ke rumah anak-anak ada dan akan mendamaikan keadaan,” katanya.

Seronok bekerja dengan suami

Menjadi pilihan suami sendiri untuk membantu di bangku sutradara, Lisa mengakui, bertindak sebagai penolong pengarah dalam setiap projek pembikinan drama merupakan peluang terbaik untuknya meraih satu lagi pengalaman dan pelajaran baharu dalam dunia pengarahan.

“Memang ada ketikanya berlaku percanggahan idea apabila bekerja bersama-sama, tetapi di lokasi penggambaran kami akan jadi profesional.

“Sebagai orang baharu yang masih belajar, saya hormat pandangan Yusry yang sudah berpuluh-puluh tahun dalam bidang ini.

“Kami berbeza ketika bekerja tetapi melalui perbezaan itulah wujud satu kombinasi yang baik,” ujarnya yang kini berkolaborasi dengan Yusri untuk mengarah telemovie dan sebagainya.

Bercakap soal kerjaya lakonan, Lisa yang kini berada bawah pengurusan Rocket Fuel memberitahu, dia tidak menolak untuk kembali berlakon dalam drama tempatan.

Bagaimanapun dia perlu memilih dalam memastikan dirinya benar-benar selesa untuk melengkapkan tanggungjawabnya sebagai pelakon.

“Ada benarnya juga saya lebih banyak berada di rumah dengan anak-anak. Saya tahu ini adalah waktunya untuk saya melihat dua anak saya iaitu Yahaira Leanne, 3 dan Yusof Leonne yang kini sudah berusia setahun membesar.

“Memang perlu saya memilih sebelum menerima sebarang tawaran,” katanya. – Utusan Online