Penguatkuasa DBKL Disimbah Minyak Panas

MANGSA melecur di bahagian leher dan tangan kiri akibat disimbah minyak panas oleh seorang penjaja di persimpangan Jalan Masjid India dan Jalan Bunus, Kuala Lumpur, malam tadi. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melecur di bahagian leher dan tangan kiri akibat disimbah minyak panas oleh seorang penjaja di persimpangan Jalan Masjid India dan Jalan Bunus, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, enam anggota penguat kuasa DBKL membuat pemeriksaan terhadap gerai penjaja terbabit yang menjual keropok lekor di lokasi berkenaan yang dikatakan menghalang laluan orang ramai.

Menurut mangsa, Mohd Irwan Sarip, 32, dia bersama rakan setugasnya membuat pemeriksaan itu selepas menerima empat aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan suami isteri yang meletakkan troli di lokasi terbabit yang digunakan sebagai gerai di laluan orang ramai.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, mereka membuat sitaan terhadap troli berkenaan kerana menjalankan perniagaan di laluan orang ramai, selain kesalahan tidak mempunyai lesen untuk berjaja di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit enggan menyerahkan troli itu hingga berlaku tarik menarik menyebabkan minyak digunakan untuk mengoreng keropok lekor yang dijual mereka terpercik dan terkena pada isterinya.

“Lelaki itu yang berang dengan insiden itu kemudian bertindak menyimbah minyak panas dalam kuali terbabit yang terkena bahagian leher dan tangan kiri saya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Irwan berkata, rakan sekerjanya yang lain menahan lelaki itu dan berlaku pergelutan antara mereka kerana keenganannya menyerahkan dokumen pengenalan diri dan memberikan kerjasama apabila mahu dibawa ke balai polis berhampiran.

“Difahamkan lelaki itu cedera di bahagian kepala akibat pergelutan dengan anggota penguat kuasa yang mahu menahannya sebelum dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

“Saya kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Lelaki itu juga ada mengugut kami dengan memberitahu dia tidak berpuas hati dan akan mencari kami sebaik dibebaskan nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.