Tengku Amir Sedia Terajui FAS

TENGKU Amir Shah berkenan menyandang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor. – Foto fail NSTP/ Rasul Azli Samad

SHAH ALAM: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyandang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani, yang mengumumkan perkara berkenaan melalui satu kenyataan media berkata, Tengku Amir Shah berkata FAS harus melakukan anjakan paradigma dan perubahan menyeluruh dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor.

Munir berkata, Tengku Amir turut menekankan bahawa ketika ini bukanlah masa untuk mengadu domba ataupun mencari kesalahan lampau.

“Baginda sentiasa menyokong penuh pembangunan bola sepak terutama di peringkat akar umbi. Fokus harus diberikan untuk memastikan FAS serta pasukan bola sepak Selangor terus mara,” kata Munir.

Menurut Munir, Tengku Amir Shah menyeru rakyat untuk bersama-sama menyokong penuh pembaharuan yang akan dilakukan baginda apabila menerajui FAS.

“Baginda yakin pasukan kesayangan rakyat Selangor ini akan dapat mencapai kegemilangan yang lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Minggu lalu, Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai Presiden FAS. Subahan turut mengesahkan timbalannya, Datuk Seri Sharil Mokhtar juga  melepaskan jawatannya.

Berikutan itu, nama Tengku Amir Shah disebut-sebut akan mengisi kerusi presiden badan induk bola sepak Selangor itu.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.